Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia [ 3h ago ]

Dua pasang suami isteri antara 26 ditahan positif dadah di Miri

Tarikh kemaskini: 03/11/2019


MIRI, 3 Nov -- Rahsia sepasang suami isteri yang menjadi penagih dadah syabu terbongkar di hadapan keluarga sendiri dalam operasi dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di pekan Bekenu.

Ketua AADK Miri, Mazlan Jikran berkata pasangan suami isteri tersebut adalah antara 26 individu yang ditahan kerana positif dadah syabu dalam operasi dua hari bermula semalam meliputi 13 kampung di pekan Bekenu.

“Pasangan suami isteri masing-masing berumur 35 dan 31 tahun itu terkejut dengan kehadiran penguatkuasaan dan aktiviti penagihan dadah terbongkar di hadapan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Mazlan berkata, dalam operasi yang sama sepasang suami isteri muda turut ditahan, masing-masing berumur 20 tahun dan 18 tahun.

Menurutnya, operasi dijalankan bersama dengan Rela serta Jawatankuasa Keselamatan Penduduk (JKP).

Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu