Kelulusan RUU pengangkutan barang melalui laut mudahkan lagi perdagangan [ 5h ago ]

Regatta Sarawak 2019: Landas rangkul gelaran Raja Sungai

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
Sumber:Utusanborneo.com.my
KUCHING, 3 Nov -- Debaran menyaksikan pasukan mana dinobat ‘Raja Sungai’ Piala TYT Regata Sarawak 2019 terjawab selepas pasukan Landas berjaya mengakhiri perlawanan kira-kira 10 saat lebih pantas daripada pesaing terdekat di acara akhir kejohanan ikonik berkenaan hari ini.

Pasukan Landas yang mara ke peringkat akhir kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki dengan tiga perahu, mengalahkan 13 perahu pasukan lain dengan mencatat masa 7:12:84 saat (s) bagi merangkul gelaran berkenaan.

Naib johan dimenangi pasukan Udak yang berjaya mara dengan empat perahu dengan catatan masa 7:22:57s, manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Jang BS yang turun dengan dua perahu dengan mencatat masa 7:28:12s.

Juara tahun lalu, pasukan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak yang berjaya ke peringkat akhir dengan enam perahu bagaimanapun gagal mendapat tempat tiga teratas.

Acara penyampaian hadiah disempurnakan Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diiringi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Sebelumnya, berlangsung perlumbaan final kategori lain termasuk Perahu Balok Tujuh Pekayuh Lelaki, Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki Piala Petronas, Perahu Bidar 10 Pekayuh Lelaki, Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki Piala MOTAC, Bidar 15 Pekayuh Lelaki Piala JX Nippon, Bidar 20 Pekayuh Lelaki Piala Petra Energy dan Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki (IPTA/IPTS) Piala Ta Ann.

Sebanyak 36 pasukan menyertai acara tahunan Kalendar Pelancongan Negeri itu yang diadakan di Tebingan Sungai Sarawak bermula Jumaat lepas dengan hadiah wang tunai keseluruhan ditawarkan RM240,000.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu