Peguam Negara tidak akan merayu keputusan Seksyen 13 SOSMA tidak berperlembagaan [ 6m ago ]

NGO Sikh dan sukarelawan santuni warga HKL

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
KUALA LUMPUR, 3 Nov -- Sempena sambutan Guru Nanak Gurpurab yang bakal diraikan warga Sikh pada 12 Nov? ini, badan bukan kerajaan (NGO) Sikh Naujawan Sabha Malaysia mengambil inisiatif mengedarkan lebih 1,000 pek makanan kepada pesakit dan keluarga di Wad Pesakit Lelaki, Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Ahli NGO berkenaan Mejar (B) Sagar Singh, 69, berkata program tahunan yang sudah menjangkau 30 tahun itu adalah satu tanggungjawab sosial korporat mereka bagi memberikan sedikit kegembiraan kepada pesakit dan keluarga mereka.

“Ini peristiwa khas bagi kami dan hari ini kami juga mengagihkan ladu yang menjadi manisan tradisi Punjabi. Kalau kita lihat perayaan dan perkahwinan masyarakat Sikh, kita juga agihkan ladu, hari ini kita agih makanan kepada semua pesakit dan warga hospital tanpa mengira kaum, jantina dan warna kulit.

“Kadang-kadang pesakit di sini tiada kawan untuk bercakap, mungkin keluarga tidak ada masa untuk melawat mereka, doktor dan jururawat juga semestinya sibuk untuk ‘melayani’ mereka jadi kita ambil inisiatif ini menceriakan mereka, program sebegini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia,” katanya kepada Bernama selepas mengagihkan pek makanan itu di sini, hari ini.

Lebih 40 sukarelawan pelbagai latar belakang dan status turut membantu mengagihkan makanan termasuklah capati, bubur manis dan dhal kacang kuda.

Sharan Kaur, seorang sukarelawan, 45, berkata program sebegini sedikit sebanyak memberikan impak kepada golongan kurang bernasib baik walaupun sumbangan itu dilihat kecil namun tetap memberi seribu makna.

“Ini kali pertama saya sertai aktiviti sukarelawan dengan NGO ini, dan perasaan saya amat gembira walaupun luang masa hanya lima minit, tapi kami dapat menceriakan mereka, kadang-kadang sedikit pertolongan yang diberi ini dapat memberikan kepuasan kepada kami juga,” katanya.

Sementara itu, seorang penjaga, Nur Diana Sharatan Azlim, 22, melahirkan rasa terharunya atas usaha murni dan keprihatinan warga Sikh meraikan golongan tidak bernasib di hospital.
KUALA LUMPUR, 3 Nov -- Sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) Sikh Naujawan Sabha Malaysia menyampaikan makanan kepada pesakit Mohamad Solahuddin Mohd Nawi,(kiri), isterinya Nur Diana Sharatan Azlim, (tengah) serta ibunya Che Bidah Yunus (tiga, kanan) di wad Pesakit Lelaki di Hospital Kuala Lumpur

“Ini kali pertama saya mencuba ladu sebelum ini tidak pernah dapat rasa. Yang saya tahu ladu ini sinonim dengan perayaan kaum India, dan hari ini saya dapat merasainya. Saya terharu melihat mereka yang sanggup datang meraikan kami di sini tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.

Sambutan Guru Nanak Gurpurab adalah bagi meraikan ulangtahun ke 550 kelahiran Guru Nanak yang mengasaskan agama Sikh dan guru yang pertama daripada 10 guru utama bagi agama itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu