Kelulusan RUU pengangkutan barang melalui laut mudahkan lagi perdagangan [ 6h ago ]

Jumlah pembuangan pekerja menerusi skim VSS antara isu Dewan Rakyat hari ini

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
KUALA LUMPUR, 4 Nov -- Persoalan tentang jumlah pembuangan pekerja di semua sektor, termasuk melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi tempoh 2018 dan 2019, akan membuka tirai persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) yang mengajukan soalan itu, juga mahukan penjelasan daripada Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran tentang peluang pekerjaan yang disediakan kepada mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

Juga menarik pada persidangan hari ini adalah penjelasan kerajaan berhubung pelaksanaan tempoh percubaan untuk menguji keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) baharu sektor perlombongan dan pengeksportan bauksit, yang dibangkitkan Che Alias Hamid (PAS- Kemaman).

Turut dijangka mencuri perhatian adalah soalan yang diajukan Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) yang mahu Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menyatakan kaedah bagi memastikan setiap aktiviti atau projek yang menggunakan bajet Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menunjukkan lebih akauntabiliti bagi mengelak salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Sebaik selesai sesi soal jawab lisan, baki enam lagi kementerian dijadual terlibat dalam sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020, antaranya Kementerian Industri Utama, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kementerian Kewangan turut akan terlibat dalam sesi pergulungan itu sebagai kementerian yang bertanggungjawab menggulung Perbahasan Belanjawan di peringkat dasar.

Sebanyak 25 kementerian terlibat dalam sesi penggulungan yang bermula sejak 29 Okt lepas.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Dis.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu