ICC didesak siasat jenayah Israel di Gaza [ 13m ago ]

Rakyat Kelantan diingatkan banjir bukan pesta air tahunan

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
Gambar fail Bernama
Oleh Azli Shafii

KOTA BAHRU, 4 Nov -- Setiap kali musim banjir berlaku di Kelantan, ia diibaratkan sebagai pesta oleh sebahagian besar masyarakat di negeri ini yang datang beramai-ramai ke tempat dilanda banjir semata-mata untuk ‘bermain air’.

Raut di wajah mereka terutama kanak-kanak dilihat langsung tidak takut malah dengan bangganya melakukan aksi berbahaya yang lazim dilakukan ketika di kolam renang, tanpa risau sekiranya ia boleh meragut nyawa sesiapa sahaja.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari berkata walaupun banjir tahun lepas tidak merekodkan sebarang kes kematian akibat lemas, namun ia bukanlah alasan kukuh kepada masyarakat untuk meraikannya sebagai pesta air.

"Perkara itu (pesta air) menimbulkan kerisauan kepada agensi keselamatan walaupun ia menjadi satu suasana yang seronok kepada sesetengah masyarakat. Apabila berpesta sudah tentu aspek keselamatan tidak diendahkan kerana terlalu leka bermain air,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa episod banjir bakal berlaku khususnya di Kelantan berikutan angin Monsun Timur Laut.

Mohd Wildan berkata antara aksi berbahaya yang dilakukan setiap kali ‘pesta’ musim banjir adalah terjun jambatan, memukat ikan dan bermain air tanpa menitikberatkan aspek keselamatan, malah ada kanak-kanak melakukan aksi sedemikian di sungai yang arusnya agak deras yang jelas berbahaya kepada mereka.

"Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka, bukan menggalakkan dengan turut sama terlibat bermain air banjir yang bukan sahaja bahaya tetapi kotor dan boleh menjejaskan kesihatan," katanya.

Bagi menghadapi musim banjir di negeri ini, beliau berkata antara langkah diambil pihaknya ialah dengan membekukan cuti bagi memastikan kekuatan dan anggotanya lebih 80 peratus selain pemantauan berskala ke ‘hotspot’ banjir.

"Penyelarasan sumber logistik negeri termasuk antara agensi lain bagi memudahkan tindak balas sebarang kemalangan yang berlaku dan penyelarasan di bilik gerakan negeri dan disalurkan ke peringkat Pusat Kawalan Operasi Bencana," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhamad Piah berkata masyarakat seharusnya memikirkan tentang bahaya lain apabila tibanya musim banjir seperti kehadiran binatang berbisa, aliran arus elektrik, penyakit serta ancaman jenayah.

"Jika masyarakat bermain air ia turut membuka peluang kepada penjenayah untuk melakukan jenayah pecah rumah, kecurian kenderaan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu mematuhi sepenuhnya arahan daripada pihak berkuasa supaya tidak bersikap keras kepala walaupun banjir di negeri ini sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat di sini.

"Justeru masyarakat seharusnnya lebih memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan keluarga masing-masing dan tidak perlu menjadi kelompok yang mencipta 'pesta air' pada musim banjir.

"Berpindah awal ke pusat pemindahan sementara (PPS), simpan dokumen penting, larang tegas terhadap ahli keluarga yang bermain air, sediakan peralatan penting seperti lampu suluh, ubat-ubatan dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu