Agong dan Raja Permaisuri rakam ucapan takziah kepada TPM dan keluarga [ 18m ago ]

Restoran tema Hello Kitty jadi tumpuan kerana nasi ekonomi

Tarikh kemaskini: 04/11/2019
Oleh Rozainah Abdul Rahim

IPOH, 4 Nov -- Hello Kitty, karektor kartun dari Jepun yang digambarkan sebagai seekor kucing dengan kebanyakan pakaian berwarna merah jambu, sememangnya menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia sejak mula diperkenalkan pada 1974.

Kegilaan terhadap karektor itu tidak terkeculi kepada orang ramai di negara ini, sehingga ada yang mengabdikan minat mereka dengan membuka kedai makan bertemakan Hello Kitty.

Bagi warga Ipoh, pastinya '3 Generation Restaurant' tidak asing bagi mereka kerana kedai makan di hadapan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) Kampus Ipoh itu bukan sahaja menyediakan makanan pada harga murah, tetapi turut menjadikan Hello Kitty sebagai tema.

Menurut pemilik restoran, Nur Akma Mohamad Nassier, 30, premis itu beroperasi sejak tujuh tahun lepas dengan menyediakan lebih 30 jenis lauk-pauk masakan Melayu setiap hari, dan yang menjadi tumpuan adalah 'nasi ekonomi' yang berharga RM2, minuman pula percuma.

Mengenai dekorasi bertemakan Hello Kitty, beliau berkata ia sebagai ‘trademark’ supaya restoran itu lebih dikenali memandangkan beliau merupakan penggemar karakter kucing itu.

Nur Akma, ibu kepada dua anak, berkata idea berkenaan diperoleh ketika beliau mengikuti sijil kemahiran dalam bidang Hotel dan Katering di Kolej Komuniti Selayang di ibu negara selama dua tahun bermula 2011.

"Selain bertemakan Hello Kitty, restoran ini juga memberi cenderamata kepada pelanggan pada hari tertentu, seperti kalendar dan coklat yang direka berbentuk Hello Kitty.

"Selain papan nama kedai berwarna pink sebagai 'trademark' Hello Kitty, di dalam premis juga ada lukisan karektor itu dan bekas air juga ada gambar Hello Kitty," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, restoran berwarna merah jambu itu turut menjual ayam madu serendah RM1 seketul yang laris dijual setiap hari.

Mengenai set nasi ekonomi, Nur Alma berkata ia terdiri daripada nasi putih bersama sayur dan pilihan sama ada lauk ayam, ikan atau telur, dan pelanggan perlu memaklumkan terlebih dahulu di kaunter untuk mendapatkannya.

“Walaupun tidak memperoleh keuntungan yang banyak tetapi kami gembira apabila ramai yang mengunjungi kedai kami. Ia sebenarnya cadangan arwah bapa saya supaya memperbanyakkan sedekah dalam berniaga,” katanya.

Katanya kini perniagaan yang dibuka bermula pukul 8.30 pagi sehingga 4 petang setiap hari kecuali Jumaat itu dikendalikan bersama keluarganya serta tiga pekerja.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu