Beruang matahari diselamatkan dari rumah panjang di Betong [ 4m ago ]

Sektor MSB digesa mematuhi dasar AML/CFT

Tarikh kemaskini: 06/11/2019
Laporan Eksklusif Oleh: Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Western Union Malaysia, penggiat kiriman wang global, menggesa sektor Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) mematuhi dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AML/CFT) yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Semalam, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata bank pusat itu sedang menyemak semula dasar AML/CFT dengan mengeluarkan pelbagai panduan, nota teknikal dan kemas kini mengenai peraturan untuk menjadikan kerangka kawal selia itu lebih berlandaskan risiko dan prinsip.

Ketua Pematuhan Western Union Malaysia Mohanamerry Vedamanikam berkata pelbagai ancaman terhadap MSB semakin meningkat seperti penipuan dan pengubahan wang haram, sambil menambah menjadi keutamaan sektor itu untuk membasmi jenayah kewangan.

Industri MSB di Malaysia terdiri daripada pertukaran wang runcit, pengiriman wang dan perniagaan mata wang borong.

“Kita perlu mematuhi peraturan, dasar dan prosedur yang berkaitan untuk memenuhi jangkaan pengawalseliaan dan pada masa sama menguruskan pengalaman pelanggan dengan cekap.

“Bendera merah yang dikenal pasti oleh ejen semasa proses urus niaga akan ditangani dengan data yang berkaitan dan dokumen sokongan.

“Bendera merah yang gagal ditangani daripada penghantar atau penerima (pengiriman wang) akan dianggap sebagai aktiviti yang boleh dipersoalkan dan akan dilaporkan kepada pengawal selia Bank Negara Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Ke-11 (IFCTF 2019) di sini hari ini.

Bagi menghentikan pengiriman wang tidak sah untuk jumlah wang yang besar, Mohanamerry berkata Western Union turut mewujudkan platform teknologi yang akan menjalankan penilaian risiko menggunakan peraturan dalaman dan nilai ambang untuk mengesan urus niaga dengan corak yang luar biasa dan yang melanggar peraturan di 2,700 lokasi terdiri daripada ejen Western Union dan bank-bank di Malaysia.

Penilaian risiko akan menunjukkan tahap pengesanan yang akan membawa kepada tindakan yang perlu diambil, katanya.

Beliau berharap penggiat MSB akan bekerjasama di peringkat industri untuk membanteras penjenayah kewangan dan tidak memberi mereka peluang untuk melarikan diri.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu