Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 8m ago ]

Petronas tekankan amalan mampan

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan memberikan penekanan yang tinggi terhadap amalan mampannya sebagai sebahagian daripada tanggungjawabnya kepada pihak berkepentingannya.

Naib Presiden Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kumpulan Dzafri Sham Ahmad berkata sejak penubuhannya, amalan mampan Petronas telah berkembang dengan penambahbaikan baru-baru ini kepada Pernyataan Tujuan untuk mengukuhkan kumpulan sebagai penyedia tenaga dan penyelesaian.

"Pernyataan Tujuan memberi kami makna yang besar terhadap kewujudan kita.

"Mengambil petunjuk daripada Pernyataan Tujuan kami, kami telah mewujudkan agenda mampan kami yang berteraskan empat agenda iaitu perwujudan nilai, memelihara alam sekitar, impak sosial yang positif dan tadbir urus yang bertanggungjawab," katanya pada Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019 di sini hari ini.

Dzafri berkata empat agenda itu akan memberi Petronas hala tuju yang lebih jelas dan memberi tumpuan kepada semua aktiviti di bawah kemampanan.

"Bagi Petronas, kita mesti mempunyai agenda yang jelas. Agenda ini telah membantu kami mengatur pelbagai program dan inisiatif di bawah agenda mampan dengan cara yang lebih baik.

"Itu antara sebab utama untuk mempunyai agenda yang jelas," katanya.

Dalam ucapan pada Forum SDG Pemimpin-Pemimpin Perniagaan, Dzafrin berkata penting untuk Petronas menerapkan budaya dan pemikiran yang tepat dalam organisasi yang membolehkannya menumpukan kepada mengembangkan perniagaan secara bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar secara mampan.

"Agenda Kemampanan kami mencerminkan komitmen Petronas untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan komponen alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

"Agenda itu turut merangkumi tujuh SDG yang telah diberi keutamaan untuk terus memberi fokus kepada usaha dan inisiatif di bawah agenda tersebut," katanya.

Sidang Kemuncak SDG Malaysia 2019 yang julung kali diadakan itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia.

Bertemakan, ‘Accelerating Progress on the SDGs: Whole of Nation Approach', sidang kemuncak selama dua hari itu, yang berakhir esok, berjaya menarik lebih 2,000 peserta.

-- BERNAMA??????



       Berita Utama Terdahulu