KPDNHEP tidak cadang wujud jenama 'i-KeeP' [ 16m ago ]

Pengeluar utama getah bimbang penyakit kulat akan kurangkan pengeluaran

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
BANGKOK, 6 Nov -- Thailand, Indonesia dan Malaysia, pengeluar utama getah asli (NR) dunia menyuarakan kebimbangan mengenai penularan penyakit Pestalotiopsis (penyakit kulat) yang menjejaskan ladang getah di negara-negara tersebut.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang mewakili ketiga-tiga negara itu berkata sehingga 1 Oktober lepas, sebanyak 382,000 hektar tanaman di Indonesia telah terjejas, manakala 2,135 hektar lagi melibatkan kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan daun gugur antara 50 dan 90 peratus untuk tempoh dari November 2017 hingga September tahun ini.

“Di Thailand, dianggarkan sekurang-kurangnya 50,000 hektar ladang getah di selatan Thailand di sepanjang sempadan Malaysia mungkin terjejas, sejak ia dilaporkan beberapa bulan lepas. Kira-kira 80 peratus daripada kawasan tersebut terjejas akibat penyakit ini.

“Pekebun tempatan di kawasan itu menyatakan pengeluaran berkurangan sebanyak 40 hingga 60 peratus. Ini akan menjejaskan pengeluaran getah berikutan bulan Oktober, November dan Disember biasanya merupakan tempoh puncak kutipan hasil tahun itu,” katanya.

Kumpulan itu berkata dilaporkan penyakit tersebut telah merebak ke wilayah Trang di selatan Thailand, antara kawasan tanaman utama getah.

“Antara punca utama penyebaran wabak itu ialah pokok getah tidak sihat berikutan harga getah yang amat rendah untuk tempoh lima hingga enam tahun ini. Dengan pendapatan yang diterima berkurangan, ini menyebabkan pekebun getah mengabaikan sistem pembajaan yang dicadangkan.

Dengan penyebaran penyakit kulat itu, ITRC berkata besar kemungkinan anggaran pengeluaran NR negara-negara anggotanya berkurangan sehingga 800,000 tan.

Katanya eksport kasar NR untuk negara-negara anggotanya berkurangan sebanyak 10.60 peratus kepada 492,000 tan pada separuh pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya eksport kasar NR untuk negara-negara pengeluar lain seperti Vietnam, Ivory Coast dan Kemboja naik sekitar 106,000 tan atau 11.56 peratus.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Getah Thailand kini melaksanakan pelbagai usaha untuk membendung penyebaran tersebut dengan bantuan pelbagai organisasi dalam negeri dan Lembaga Pembangunan dan Penyelidikan Getah Antarabangsa.

Di Malaysia, Lembaga Getah Malaysia telah menjalankan latihan dan demonstrasi penyemburan mengenai cara untuk mengenal pasti dan mengawal penyakit itu dengan menggunakan racun kulat.

“Bagi manfaat semua pekebun kecil getah dan pihak berkepentingan lain dalam industri NR, negara-negara anggota ITRC akan memantau dan terus melaksanakan langkah-langkah berkaitan untuk memastikan harga NR bergerak kepada paras remuneratif termasuk usaha untuk menangani penyakit getah dan kemampanan NR," menurut ITRC.

Sementara itu, katanya negara-negara anggota ITRC telah melengkapkan pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) Ke-6 yang bermula pada 1 April lepas dengan pematuhan penuh sebagai satu entiti dan negara-negara individu.

Selepas tempoh pelaksanaan AETS Ke-6, jumlah pengurangan eksport sebenar untuk ketiga-tiga negara mencecah 441,648 tan yang lebih besar daripada sasaran pengurangan sebanyak 240,000 tan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu