Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 25m ago ]

MSM ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh 22 bulan

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
Laporan Khas Oleh Nurul Jannah Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 6 Nov -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh 22 bulan pada Rabu berikutan bekalan rendah dan permintaan tinggi.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran menunjukkan prestasi yang kukuh walaupun asas agak positif.

Beliau berkata niaga hadapan MSM, yang merosot sebelum ini, pulih untuk mencecah peningkatan tertinggi sebanyak RM46 pada bulan penanda aras.

“Walapun harga pada amnya meningkat menjelang akhir tahun ini, peningkatan pada tahun ini dicatatkan lebih awal dan lebih cepat.

“Pasaran bergerak seperti mahu menguji paras RM2,600 satu tan. Paras tertinggi yang dicapai pada RM2,594,” katanya.

Beliau berkata walaupun tinjauan eksport dan pengeluaran baru-baru ini memberikan sokongan, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang sebenar yang dijangka dikeluarkan minggu depan akan mengesahkan sama ada harga tinggi semasa dapat dikekalkan.

Selain itu, katanya prestasi ringgit akan turut membantu menentukan pergerakan harga MSM.

“Ringgit susut sebanyak 0.17 peratus kepada 4.1350 daripada ditutup semalam. Unit tempatan yang rendah menyebabkan sawit dalam nilai ringgit lebih murah bagi pembeli antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata kebimbangan mengenai pengeluaran rendah terus menyokong harga.

“Bagaimanapun, peningkatan baru-baru ini akan menambah tekanan kepada harga. Kami mengesan paras sokongan pada RM2,500 satu tan dan paras halangan pada RM2,600 satu tan,” katanya.

Pada penutup, kontrak niaga hadapan MSM bagi November 2019 naik RM40 kepada RM2,492 satu tan, Disember 2019 menokok RM38 kepada RM2,518 satu tan, Januari 2020 menambah RM39 kepada RM2,554 satu tan dan Februari 2020 naik RM46 kepada RM2,578 satu tan.

Bagaimanapun, jumlah dagangan merosot kepada 52,482 lot daripada 62,971 lot pada Selasa manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 255,427 kontrak berbanding 266,808 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, November Selatan naik RM25 kepada RM2,465 satu tan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu