IPO Solarvest terlebih langgan 35 kali [ 11m ago ]

Jemaah menteri bakal putuskan ratifikasi CPTPP

Tarikh kemaskini: 07/11/2019
KUALA LUMPUR, 7 Nov -- Keputusan muktamad sama ada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan diratifikasi atau sebaliknya akan ditentukan oleh jemaah Menteri.

Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat ketujuh EAC yang berlangsung di Putrajaya semalam.

Menurut EAC, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu membincangkan hasil kajian impak yang dijalankan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) ke atas CPTPP.

"Perjanjian perdagangan seperti CPTPP perlu mengambil kira komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar pembangunan yang inklusif agar manfaat CPTPP yang dijana dapat dinikmati bersama dan selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," jelas EAC.

Implikasi dan potensi impak CPTPP juga telah dibincangkan secara mendalam pada mesyuarat tersebut.

Selain itu, seiring dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana pasaran domestik yang lebih kompetitif, efisien dan kondusif, EAC turut membincangkan hasil kajian semula pasaran sektor makanan negara di bawah Akta Persaingan 2010.

Kajian ini dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Hasil pembentangan penemuan kajian ini telah diteliti dan turut membincangkan prospek penstrukturan semula rantaian bekalan makanan menerusi platform ekonomi digital dengan penglibatan aktif sektor swasta bagi menurunkan harga barangan keperluan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu