CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Pekerja pos Finland lancar mogok selama dua minggu mulai Isnin

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
HELSINKI, 8 Nov -- Pekerja pos di Finland akan melancarkan mogok selama dua minggu yang boleh menyebabkan kelewatan dalam penghantaran surat, umum pendamai nasional Vuokko Piekkala pada Khamis.

Pekerja yang bertugas mengangkut, mengendali dan menghantar surat tidak akan berbuat demikian dari 11 hingga 24 Nov, kata Piekkala.

Kesatuan Pekerja-Pekerja Pos dan Logistik (PAU) telah berselisih pendapat dengan syarikat perkhidmatan pos milik kerajaan Posti dan setakat ini tiada kata sepakat dicapai, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan stesen penyiar rasmi Finland, Yle.

Lembaga PAU akan bermesyuarat pada Jumaat untuk memuktamadkan rancangan melancarkan mogok itu dan rundingan rasmi seterusnya dijadualkan pada 13 Nov, lapor Yle.

Kira-kira 9,000 pekerja akan terlibat dalam mogok itu jika ia diteruskan, kata PAU.

Terdahulu pada September, pekerja pos di Finland telah mengambil tindakan industri selepas Posti bercadang mengurangkan gaji sejumlah 700 petugas sebanyak 30 peratus.

Tindakan itu dihentikan selepas Sirpa Paatero, menteri yang bertanggungjawab mengawasi firma milik kerajaan, campur tangan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu