Kontena bawa sisa plastik tidak patuhi undang-undang dihantar kembali ke negara asal - KPKT [ 18m ago ]

Program pencegahan tangani masalah bantut kanak-kanak - Dr Wan Azizah

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Setiausaha Sulit Kanan Kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir (tengah) pada gimik perasmian Majlis Kick-off #ANAKMALAYSIATINGGI Peringkat Kebangsaan hari ini.
KOTA BHARU, 8 Nov -- Kerajaan telah menyalurkan peruntukan khas kepada Kementerian Kesihatan bagi menjalankan intervensi berkaitan kesihatan dan pemakanan untuk menangani masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Sehubungan itu, program berbentuk pencegahan sedang dilaksanakan dengan menyasarkan kumpulan ibu yang mengandung sehingga kanak-kanak berumur dua tahun.

"Program pendedahan isu bantut dalam kalangan kanak-kanak dilaksanakan di empat 'settings' iaitu kepada komuniti, sebaran melalui media massa, pengukuhan di pusat jagaan kanak-kanak, Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) kerajaan dan swasta serta pengukuhan perkhidmatan ibu dan anak di klinik kesihatan," katanya pada Majlis Perasmian Kick-Off #ANAKMALAYSIATINGGI di sini, hari ini.

Teks ucapan perasmian beliau dibacakan oleh Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman.

Menurut Dr Wan Azizah, bagi fasa pertama tahun ini, Kementerian Kesihatan menumpukan aktiviti berbentuk kesedaran dan pengetahuan awam serta libat urus pelbagai agensi mengenai isu bantut dalam kalangan kanak-kanak.

Ia dilaksanakan melalui program bersama masyarakat, penyediaan bahan media, sesi latihan dan dialog interaktif bersama pengasuh dan ibu bapa yang menghantar anak ke TASKA kerajaan serta latihan pengukuhan kompetensi pertumbuhan dan pemakanan kanak-kanak dalam kalangan anggota kesihatan di klinik, katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata kementeriannya juga sedang menyemak semula Dasar Kanak-kanak Negara, Dasar Perlindungan Kanak-kanak dan juga elemen kanak-kanak dalam Dasar Kesihatan Reproduktif dan Sosial untuk menjadi satu dasar kanak-kanak yang lebih komprehensif.

"Dalam usaha ini, Peta Laluan Kesejahteraan Kanak-kanak Kebangsaan kini dicadang dimasukkan sebagai input dalam semakan semula Dasar Kanak-kanak Negara yang baharu.

"Usaha sedia ada akan diteruskan termasuklah pelaksanaan strategi dan aktiviti yang telah digariskan dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025 untuk meningkatkan status pemakanan penduduk, mengurangkan penyakit tidak berjangkit dan memastikan jaminan kebolehdapatan makanan," katanya

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Dr Juli Edo dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Zaini Hussin.

Pada majlis berkenaan, Wan Ahmad Uzir turut menyampaikan pemberian wang ehsan sebanyak RM500 hingga RM5,000 kepada 68 ketua isi rumah masyarakat Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh susulan tragedi kematian 15 orang daripada masyarakat itu akibat jangkitan demam campak baru-baru ini.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu