Lapan unit hebahan bergerak ingatkan masyarakat Tg Piai keluar mengundi [ 3m ago ]

Beijing hadkan penggunaan peranti elektronik di sekolah

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
BEIJING, 8 Nov -- Beijing pada Khamis mengeluarkan satu peraturan bagi mengawal penggunaan peranti elektronik di sekolah dan menggalakkan lebih banyak latihan fizikal, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa.

Menurut peraturan itu, pelajar tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, tablet atau peranti elektronik lain ke dalam kelas manakala guru dikehendaki mengehadkan jumlah masa pengajaran mereka menggunakan skrin digital kepada tidak lebih 30 peratus daripada tempoh kursus mereka.

Waktu skrin harian kanak-kanak dihadkan kepada tidak lebih sejam dan mereka yang berusia di bawah lapan tahun dilarang bermain permainan video, menurut peraturan itu.

Ia juga menggesa agar pengurangan beban kerja bagi pelajar tahun pertama dan kedua di sekolah rendah serta tempoh minimum bagi aktiviti fizikal dan masa tidur pelajar di semua peringkat sebelum kolej.

Selain itu, ibu bapa diminta membimbing anak mereka menggunakan peranti elektronik secara rasional dan membawa anak mereka untuk mengambil bahagian dalam aktiviti luar.

Peraturan itu dikeluarkan bersama oleh 10 jabatan kerajaan termasuk suruhanjaya pendidikan perbandaran, suruhanjaya kesihatan perbandaran dan biro sukan perbandaran dalam usaha mencegah miopia dalam kalangan anak-anak muda.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu