Sathianathan tidak letak harapan tinggi raih anugerah jurulatih terbaik [ 1m ago ]

Kabinet setuju beri tempoh interim 25 bulan kepada Pharmaniaga selepas konsesi berakhir

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet di Kementerian Kesihatan hari ini.
PUTRAJAYA, 8 Nov -- Kerajaan bersetuju untuk memberikan tempoh interim 25 bulan bagi urusan perolehan ubat-ubatan kepada Pharmaniaga Bhd selepas tempoh konsesinya berakhir pada 30 Nov ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata tempoh interim iaitu dari 1 Dis 2019 hingga 31 Dis 2021 itu adalah untuk memastikan tidak berlaku gangguan rantaian bekalan terhadap pembekalan dan pengedaran ubat-ubatan kepada fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan di seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata tempoh 25 bulan itu juga memberi jangka masa kepada Kementerian Kesihatan membuat persiapan supaya berupaya melakukan sendiri perkhidmatan yang dikendalikan Pharmaniaga sebelum ini, yang mana konsesinya didakwa bersifat monopoli.

"Sekiranya Kementerian Kesihatan berupaya mengambil-alih peranan Pharmaniaga dalam tempoh lebih singkat dari 25 bulan, maka tender terbuka bagi perolehan ubat-ubatan akan dimulakan lebih awal,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan tempoh interim itu diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini selepas beliau membentangkan memorandum mengenai konsesi Pharmaniaga yang bakal berakhir pada 30 Nov ini.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata bermula 1 Dis ini (2019), kerajaan memberikan kontrak lima tahun kepada Pharmaniaga bagi konsesi lojistik dan pengedaran ubat-ubatan berdasarkan keupayaan, prestasi dan semua yang dibina Pharmaniaga sehingga kini.

"Kerajaan membuat keputusan untuk memberikan kontrak itu selama lima tahun. Selepas lima tahun keadaan itu bergantung.

Dalam tempoh lima tahun kerajaan akan bina kapasiti melalui program pembangunan vendor dan supaya selepas itu, kementerian berupaya membuat tender terbuka bagi konsesi logistik ubat-ubatan," katanya.

Ditanya mengenai tender terbuka yang akan ditawarkan Kementerian Kesihatan selepas ini, Dr Dzulkefly berkata Pharmaniaga juga boleh membuat permohonan.

"Setiap orang layak," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu