Aksi kalah mati ke Liga Premier 2020 pada 23 Nov [ 13m ago ]

Kementerian tidak dapat serap sepenuhnya pegawai perubatan siswazah

Tarikh kemaskini: 08/11/2019
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad
PUTRAJAYA, 8 Nov -- Kementerian Kesihatan tidak lagi dapat menyerap sepenuhnya pegawai perubatan siswazah termasuk tajaan kerajaan yang telah menamatkan latihan siswazah ke lantikan tetap, kerana ia tertakluk kepada kekosongan jawatan di fasiliti kesihatan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Jumlah perjawatan tetap baharu juga diwujudkan berdasarkan kriteria tertentu, keperluan perjawatan bukan mengambil kira faktor keluaran graduan perubatan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pasca-Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Pegawai perubatan siswazah yang tamat latihan siswazah, memiliki sijil pendaftaran penuh dan melengkapkan khidmat wajib tetapi tidak diserap ke perkhidmatan awam berpeluang berkhidmat di agensi sektor awam lain seperti di hospital universiti dan sektor swasta yang memerlukan kemahiran bidang kesihatan, katanya.

Berikutan isu graduan terpaksa menunggu lama dan pegawai perubatan siswazah menghadapi masalah untuk melengkapkan latihan siswazah dalam tempoh dua tahun sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melakukan perubahan dasar pelantikan pegawai perubatan siswazah daripada tetap kepada kontrak, katanya.

Tempoh maksimum lantikan kontrak adalah selama lima tahun iaitu tiga tahun bagi latihan siswazah dan dua tahun bagi khidmat wajib.

Dengan perubahan dasar tersebut, Kementerian Kesihatan berjaya melantik seramai 16,407 pegawai perubatan siswazah dalam tempoh Disember 2016 hingga Oktober 2019, dengan jumlah tanggungan emolumen sebanyak RM1.63 bilion, katanya.

Bagaimanapun, katanya isu tempoh menunggu masih berlaku, disebabkan faktor luar kawalan seperti jumlah keluaran graduan yang semakin meningkat berbanding hanya 12,033 slot latihan yang disediakan di 46 hospital latihan siswazah, serta terdapat pegawai perubatan siswazah lantikan tetap yang belum menamatkan latihan siswazah.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata permohonan Kementerian Kesihatan bagi 10,675 pelbagai jawatan telah dikemukakan dan sedang dipertimbangkan agensi pusat, seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan kementerian Kewangan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu