Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 7h ago ]

Cyrille Payumo pemenang 'Miss Tourism International 2019'

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Kredit: FB rasmi Cyrille Payumo
KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Jelitawan dari 39 negara, termasuk Cyrille Payumo, mengambil bahagian dalam pertandingan ratu cantik Miss Tourism International 2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur, malam tadi.

Payumo, 22, mewakili Filipina, dimahkotakan sebagai pemenang tahun ini, menjadikan impiannya untuk meneruskan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa sebagai satu kenyataan, berikutan pemenang ditawarkan biasiswa untuk mengikuti sebarang kursus yang ditawarkan di mana-mana kampus LimKokWing University of Creative Technology di seluruh dunia.

Tajaan selama empat tahun bagi pemenang Miss Tourism International serta naib juara mulai 2019, direalisasikan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara universiti itu dan Miss Tourism International di kampus utama universiti berkenaan pada 1 Nov lepas.

Payumo, yang begitu mempersonakan dan berbakat, berkongsi kegembiraannya dengan berkata: "Kemenangan ini bagaikan batu loncatan buat saya kerana saya sangat berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang Komunikasi Massa dan memberi peluang untuk berinteraksi serta mendekati isi hati masyarakat dengan menjadi pendukung bukan sahaja kepada negara saya tetapi juga kepada dunia."

Sebagai seorang yang meminati bahasa, beliau berpendapat Malaysia adalah tempat terbaik untuk mula mempelajari bahasa baharu, misalnya bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil.

Pertandingan tahun ini yang bertemakan 'Embracing Visit Truly Asia Malaysia 2020' memasuki edisi ke-22 yang bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia. Ia pertama kali diadakan di Sarawak pada 1994.

Sementara itu, peserta Malaysia, Cheryl Loo Wen Nee, 23, sekadar berada dalam kelompok 10 peserta terbaik. Beliau bagaimanapun memenangi tiga daripada 16 gelaran sampingan iaitu Miss Gintell Wellness, Miss Glamorous Carlo Rino dan Miss Glorious Beautyful.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu