Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 7h ago ]

Tiga pegawai KPKT ditempatkan di PPR bantu tingkat kesedaran berhubung kebersihan

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
BUTTERWORTH, 9 Nov -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menempatkan tiga pegawainya dalam Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih di seluruh negara bagi membantu meningkatkan kesedaran komuniti berhubung penjagaan kebersihan, pengurusan tempat dan menjana pendapatan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin mengakui tahap kesedaran mengenai aspek kebersihan awam dan pengurusan tempat dalam kalangan penduduk di kawasan perumahan itu masih rendah dan pegawai terbabit ditugaskan untuk memimpin mereka menguruskan aspek berkenaan.

"Kita kenal pasti sinilah tempat yang kita lihat kekotoran sampah, sampah bersepah dan sebagainya. Sebab itu kita buat program di sini. Kalau kita dapat tingkatkan kesedaran penduduk di sini saya percaya ia akan beri impak kepada seluruh negara.

"Kita minta ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan untuk kenal pasti PPR dalam kawasan mereka. Kalau kawasan itu tidak ada PPR mungkin boleh cari perkampungan atau komuniti yang masih rendah dalam aspek pengurusan kebersihan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Eko Komuniti di PPR Taman Bagan Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata pegawai KPKT itu akan ditempatkan di PPR terpilih secara sepenuh masa dengan mengendalikan Sekretariat Muafakat Komuniti yang akan ditubuhkan di PPR terlibat.

Zuraida berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 10 buah PPR akan menubuhkan sekretariat itu pada tahun ini manakala 20 buah lagi PPR pada tahun depan.

Mengulas mengenai program Eko Komuniti, beliau berkata program itu diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan komuniti setempat terutamanya penduduk yang menetap di PPR dalam menjaga kebersihan awam dan mengutamakan kesihatan.

Menurutnya, program itu juga membantu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengasingan sampah di samping membantu menjana pendapatan sampingan dengan sampah yang dikitar semula.

"Kita mahu menggalakkan penduduk di kawasan PPR ini agar memahami ekosistem Dasar Kebersihan Negara. Maknanya menukar sampah itu jadikan duit. Dengan adanya aktiviti ini, kita harap akan dapat menjadi sumber pendapatan kepada penduduk di PPR dengan menebus sampah yang dikitar semula kepada syarikat pengurusan sisa pepejal yang dilantik KPKT.

"Tebusan ini dalam bentuk kewangan dan barang dapur. Kita juga sedang merangka bagaimana tebusan ini boleh digunakan untuk membayar yuran penyelenggaraan. Mungkin ada di kalangan penduduk di sini yang tidak mampu membayar," katanya.

PPR Taman Bagan Jaya merupakan siri pertama pelancaran program Eko Komuniti dan lima lagi lokasi telah dikenal pasti untuk program itu antaranya PPR Desa Mutiara, Tebrau di Johor; PPR Padang Hiliran, Kuala Terengganu; Laman Budaya, Kuala Kangsar di Perak; Taman Kosas, Ampang Selangor dan PPR Taman Sri Keramat, Putatan Sabah.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu