Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 6h ago ]

TFC sedia terima kembali dua bekas pemain negeri

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
KUALA TERENGGANU, 9 Nov -- Terengganu FC (TFC) bersedia menerima dua bekas pemain negeri, Nor Hakim Hassan dan Arif Fadzillah Abu Bakar kembali ke pasukan itu musim depan.

Ketua jurulatih, Nafuzi Zain berkata kedua-dua pemain yang berasal dari Terengganu itu tidak asing lagi dalam kalangan peminat bola sepak negeri kerana pernah menjadi tonggak utama T-Team pada 2017 sebelum berhijrah ke pasukan lain pada 2018.

Malah, bakat Arif Fadzillah juga dikesan Nafuzi semasa beliau mengendali skuad Piala Presiden pada 2016 dan muncul naib juara, sebelum Arif Fadzillah diberi tugas sebagai tonggak utama T-Team dalam Liga Super di bawah kendalian jurulatih Rahmad Darmawan pada 2017.

"Nor Hakim yang bermain di posisi sayap (pasukan Perak) dan Arif (bek kiri Felda United) merupakan pemain tonggak sejak bersama T-Team lagi.

"Jika mereka berminat untuk kembali berkhidmat untuk negeri, saya sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai berita yang mengaitkan TFC dengan dua pemain berkenaan.

Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum ini mengumumkan khidmat pemain utama bek kiri, Adib Aizuddin Ab Latif dan Khairul Anwar Shahruddin tidak disambung untuk musim depan.

Nasib sama juga menimpa pemain sayap iaitu Malik Mat Ariff, Ahmad Syamim Yahya, Shahrul Aizad Zulkifli dan Khairul Izuan Rosli yang menyaksikan kekosongan di posisi berkenaan.

Bagaimanapun, Nafuzi berkata beliau menyerahkan kepada pengurusan tertinggi PBSNT untuk mencapai persetujuan berkaitan penghijrahan tersebut kerana ia bergantung kepada kemampuan kewangan.

"Pengalaman mereka dalam kancah liga tempatan amat berharga dan akan menjadi aset bernilai TFC jika (penghijrahan) dapat direalisasikan.

"Setakat ini, tidak ada pengesahan lagi daripada pengurusan, tetapi kehadiran mereka sangat dialu-alukan kerana kedua-duanya pemain berkualiti," katanya.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu