CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Idea bakat muda perlu sentiasa disalurkan dalam operasi - PNB

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Laporan Eksklusif oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Kalangan korporat, perniagaan dan organisasi perlu mewujudkan satu pendekatan yang tepat dan sesuai untuk membolehkan idea sentiasa dicetuskan dan disalurkan dalam operasi, terutama daripada bakat muda, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Jalil Rasheed.

Beliau berkata Malaysia memiliki tenaga kerja yang menyerlah dan bijak seperti dilihat dalam kalangan diaspora Malaysia luar negara.

“Kita mungkin telah ‘mengeksport’ (sejumlah) bakat terbaik di dalam dunia. Lihatlah diaspora kita di luar negara, mereka melaksanakan tugas dengan baik di sana.

“Justeru, saya berpendapat, kita perlu memikirkan sama ada kalangan organisasi kita hari ini telah distrukturkan dengan baik untuk membolehkan idea sentiasa dihasilkan atau sebaliknya,” katanya semasa menjadi anggota panel bagi tajuk ‘Agenda Korporat: Pencetus Perubahan Merevolusikan Industri Malaysia’ pada Forum Ekonomi Belia 2019 di sini, hari ini.

Forum sehari itu dianjurkan oleh Persatuan Alumni Perdana Felow.

Jalil, yang menerajui pengurus dana terbesar negara, PNB, berkuat kuasa 1 Okt lepas berkata organisasi hari ini masih bergerak secara tradisional dan beroperasi secara berasingan.

“Saya rasa itulah masalah yang lebih besar. Bagi saya, ia mengenai langkah melonggarkan hierarki, menjadikannya fleksibel, inilah yang sebenarnya saya cuba laksanakan dalam tempoh enam minggu lepas sejak saya memegang jawatan itu -- cuba untuk tidak menekankan hierarki tersebut dan berusaha untuk memastikan semua idea dapat disalurkan.

“Idea yang terhasil lazimnya menerusi banyak usaha berkaitan teknologi yang kita usahakan adalah daripada golongan muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata antara cabaran yang dihadapi CEO ialah menggabungkan tenaga kerja muda dan lama di tempat kerja berikutan jangkaan dan pengalaman yang berbeza.

“Antara cabaran sebagai CEO ialah anda perlu mewujudkan infrastruktur dengan tenaga kerja muda berpandangan mereka juga berhak dalam menentukan hala tuju masa depan syarikat dan mereka mempunyai peluang untuk membuat perubahan.

“Bagaimanapun pada masa sama, dalam menguruskan kumpulan tenaga kerja yang lebih berusia, mereka merasa agak tergugat ketika ini berikutan teknologi selain tenaga kerja muda pula mempunyai pendapat serta pandangan yang berbeza,” katanya.

Korporat, perniagaan dan organisasi boleh mengalami prestasi buruk sekiranya mereka tidak dapat menguruskan jurang tersebut dengan memahami kelompok generasi ini dalam persekitaran kerja mereka, katanya.

“Contohnya, lihatlah industri media pada hari ini, berapa syarikat telah mengalami masalah dan kesukaran sehingga ada membawa kepada penutupan operasi, kerana mereka tidak mempedulikan perkara ini. Agak pelik memandangkan pelanggan mereka adalah Generasi Y dan mereka tidak mengambil berat mengenai apa yang berlaku dengan Generasi Y.

“Mereka sama sekali terus (beroperasi dalam) industri dan ia seperti syarikat pada 20 tahun lepas. Ini merupakan cabaran besar, dan apabila kita bercakap mengenai perubahan pemikiran, saya berpandangan kita perlu bermula dengan lembaga pengarah terlebih dahulu,” katanya.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu