CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 3h ago ]

JLand sedia baik pulih parkir berbumbung Pangsapuri Seroja

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
JOHOR BAHRU, 9 Nov -- Johor Land Berhad (JLand) bersedia membaik pulih parkir berbumbung Pangsapuri Seroja, di Tampoi yang runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang, semalam.

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan walaupun Pangsapuri Seroja telah diserahkan secara rasmi kepada Badan Pengurusan pada 21 Julai 2017, namun pihaknya berpendapat untuk bertanggungjawab dan membantu membaik pulih parkir itu untuk kemudahan dan keselesaan penduduk.

“Tindakan segera bagi kerja-kerja pembersihan dan kawal selia di kawasan yang terjejas sedang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik melalui Badan Pengurusan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, JLand bersama wakil pengurusan bangunan telah melawat kawasan kejadian dan mengesahkan keadaan adalah terkawal dan selamat.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi semalam, parkir berbumbung di Pangsapuri Seroja runtuh dan menghempap 11 kenderaan akibat hujan lebat dan angin kencang bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu