CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 3h ago ]

Komuniti Perniagaan Labuan tidak bersedia bagi kenaikan kadar cukai taksiran

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 9 Nov -- Sebahagian besar syarikat perniagaan dan pemilik hartanah lain di sini tidak bersedia untuk sebarang kenaikan kadar cukai taksiran, yang kemungkinan dicadangkan daripada penilaian hartanah, dengan dijadual dilaksanakan mulai 1 Jan, 2020.

Hasil dapatan berdasarkan kaji selidik yang dijalankan Gabungan Dewan-dewan Perniagaan Labuan itu dimaklumkan kepada pemberita selepas taklimat yang dianjurkan Perbadanan Labuan semalam.

Taklimat selama dua jam itu dihadiri oleh semua dewan perniagaan di sini dan media.

Notis Senarai Nilaian Baharu 2020 yang ??dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, Perbadanan Labuan pada 21 Okt dan diedarkan secara meluas di sini, telah mencetuskan kekeliruan dan bantahan dalam kalangan komuniti perniagaan, terutama mereka dengan sejumlah hartanah bernilai tinggi serta pemilik hartanah seperti pemilik rumah di taman perumahan.

Lebih 15,000 hartanah di pulau itu tertakluk kepada taksiran.

Berikutan tidak bersetuju dengan tempoh bagi pelaksanaan cadangan kenaikan cukai itu, kalangan perniagaan meminta Perbadanan Labuan mempertimbangkannya semula dengan mengambil kira kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi pulau ini serta memohon lebih penjelasan supaya mereka dapat bersedia.

Bagi memberi maklum balas terhadap kebimbangan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Ismail mengadakan taklimat semalam berhubung cadangan taksiran baharu berkenaan, bagaimanapun, suasana menjadi tegang apabila pelbagai isu dibangkitkan.

Beliau menekankan pelaksanaan taksiran baharu itu masih belum dimuktamadkan, dengan pemilik hartanah diberikan masa sehingga 17 Dis untuk mengemukakan pandangan dan cadangan masing-masing.

Enam jam selepas taklimat tersebut, satu dialog antara Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dengan Gabungan Dewan-dewan Perniagaan Labuan pula diadakan di sebuah hotel dengan dihadiri pemberita.

Kesimpulan daripada dialog itu ialah kenaikan kadar cukai taksiran perlu ditangguhkan buat masa ini berikutan ketidaktentuan ekonomi.

Mereka menyarankan Perbadanan Labuan meneruskan pentaksiran hartanah mengikut Notis Senarai Nilaian Baharu 2020 namun “mengekalkan” kadaran tahunan sedia ada.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman memberitahu Bernama bahawa agensi itu mendapat kelulusan untuk menaikkan cukai taksiran itu sehingga 300 peratus kerana kadar sedia telah wujud sejak 1994.

“Oleh kerana ia masih belum dimuktamadkan, kami terbuka kepada sebarang input atau cadangan daripada semua pihak terbabit sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada Januari 2020. Ada kemungkinan terdapat diskaun bagi kadar taksiran itu selepas butiran hartanah dinilai semula dan tertakluk kepada kelulusan pihak Menteri Wilayah Persekutuan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Hampir semua pemilik hartanah di sini termasuk rumah, telah menerima surat makluman mengenai penilaian hartanah mereka dan menunjukkan potensi peningkatan penilaian sekitar 70 hingga 540 peratus.

Malah, timbul beberapa kekeliruan mengenai mekanisme yang digunakan dalam penilaian tersebut.

Rozman dalam pada itu berkata pihak Perbadanan Labuan sepatutnya mengguna pakai formula yang lebih jelas dan mudah difahami dalam aspek penilaian hartanah itu.

“Pihak Perbadanan Labuan tidak harus membebankan pembayar cukai jika ia sendiri berdepan kekurangan dana untuk mentadbir pulau ini. Ia sepatutnya meminta lebih banyak dana daripada kerajaan atau pun Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan Datuk Dahlif Singh berkata semua pemilik hartanah akan dipaksa membayar taksiran melebihi dua kali ganda mulai tahun depan yang hanya membebankan mereka berikutan aktiviti perniagaan yang kian perlahan.

Presiden Dewan Perniagaan Tiong Hua Labuan Datuk Wong Kii Yii meminta Perbadanan Labuan untuk mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan masa kini sebelum menaikkan kadar taksiran itu.

Menurutnya, Perbadanan Labuan juga tidak harus mencontohi tindakan pihak berkuasa tempatan lain berikutan keadaan ekonomi di pulau itu yang berbeza.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hal Ehwal Wanita Wilayah Persekutuan Labuan Fauziah Mohd Din menyifatkan cadangan kenaikan kadar taksiran itu sebagai mengejutkan dan “tidak berasas.”

Wakil pertubuhan lain yang turut hadir pada dialog itu adalah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan, Dewan Usahawan Melayu Labuan serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu