Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 6h ago ]

Felcra Seberang Perak, estet padi pertama guna teknologi dron

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
KUALA LUMPUR, 9 Nov -- Felcra Berhad (Felcra) menjadi perintis Model Pertanian Pintar apabila melaksanakan penyemburan pertanian tanaman padi menggunakan teknologi dron di estet padi Felcra Seberang Perak, bermula penghujung November ini.

Teknologi tersebut akan dilaksana MATA Aerotech yang dilantik untuk menjalankan mekanisme itu sejajar dengan aspirasi Felcra dalam usaha meningkatkan pencapaian organisasi serta menambah baik kualiti hidup lebih 100,000 warganya di seluruh negara.

MATA Aerotech dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pelantikan itu susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Felcra dan MATA Aerotech pada 22 Julai lepas.

"Melalui kerjasama ini, MATA Aerotech akan menggunakan teknologi dron untuk penyemburan pertanian tanaman padi di kawasan seluas 1,557 hektar, iaitu melebihi 45 peratus daripada jumlah keseluruhan estet padi Felcra Seberang Perak.

"Dengan ini, Felcra Seberang Perak yang merupakan estet padi pertama dan terbesar di Malaysia, bakal melakar sejarah dengan penggunaan teknologi dron secara skala yang besar untuk penyemburan pertanian tanaman padi," menurut kenyataan itu.

Menurut MATA Aerotech, penyemburan pertanian tanaman padi menggunakan teknologi dron akan menggantikan aktiviti penyemburan bergantung kepada tenaga kerja manusia, di mana aktiviti penyemburan tersebut melibatkan tenaga kerja yang ramai serta masa lama.

Ini, katanya membolehkan tenaga kerja berkenaan melibatkan diri dalam aktiviti produktif yang lain.

Selain itu, penyemburan pertanian menggunakan teknologi dron yang lebih seragam akan menjurus kepada pengurangan pembaziran bahan semburan serta dapat mengurangkan pendedahan tenaga kerja manusia dan alam sekitar kepada bahan semburan.

Menurut syarikat itu, MATA Aerotech bersama Felcra akan menggunakan teknologi dron dan A.I (Kecerdasan Buatan) untuk melaksanakan analisa data bagi mengawasi pertumbuhan serta kesihatan tanaman padi.

"Analisa data yang cepat dan tepat mampu membantu Felcra untuk menambah baik pengurusan serta operasi estet padi.

“Analisa data ini merupakan langkah pertama ke arah Precision Agriculture melibatkan penyemburan pertanian secara bersasaran hanya di kawasan tanaman padi yang bermasalah dan dijangkiti penyakit," katanya.

Di samping, kerjasama itu juga termasuk pelaksanaan ‘Aviator Training Programme (ATP)’ untuk melatih anak muda daripada komuniti Felcra sebagai pengendali teknologi dron.

ATP yang pertama bermula pada awal November ini di Felcra Seberang Perak, melibatkan sembilan pelatih lelaki dan wanita.

ATP merupakan sebuah program latihan selama tiga bulan yang meliputi pembelajaran dalam kelas dan latihan praktikal ‘on-the-job’.

"Pelatih yang dapat mengikuti program ini dengan baik berpeluang diserap sebagai pengendali teknologi dron bersama MATA Aerotech, sekali gus menjana minat anak muda tempatan untuk melibatkan diri dalam sektor pertanian dan menyumbang kepada penurunan kebergantungan kepada tenaga kerja asing," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu