CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Tidak wajar salahkan PH ketika sedang usaha pulihkan negara - Maszlee

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
PONTIAN, 9 Nov -- Tidak wajar kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang tidak sampai dua tahun dibentuk, dipersalahkan atas masalah dihadapi rakyat, pada ketika kerajaan sedang berusaha memulihkan masalah negara.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata kerajaan PH yang tidak sampai dua tahun perlu memperbaiki kelemahan yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Rakyat perlu bersabar, kalau tak puas hati (dengan prestasi PH) yang kurang dua tahun ini, bayangkan nak pulihkan peninggalan BN yang 60 tahun...kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa. Tidak adil nak hukum PH,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama masyarakat Tionghua di Kukup dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab tentang khabar angin bahawa pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai enggan memberi sokongan kepada PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan.

"Namun saya yakin pengundi di Tanjung Piai boleh fikir matang buat keputusan memilih pemimpin. Kita (PH) 'bersih' (telus) dan beri komitmen jadikan Malaysia sebagai Asian Tiger,” katanya.

Maszlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menegaskan pemimpin daripada PH termasuk calon bagi PRK itu, Karmaine Sardini amat berdedikasi untuk berkhidmat kepada rakyat.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berdepan saingan lima penjuru menentang Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Maszlee Malik (kanan) beramah mesra dengan penduduk tempatan ketika menghadiri sesi dialog dengan NGO Tionghua bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di Kukup hari ini.



-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu