CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 3h ago ]

Rakyat nilai prestasi kepimpinan PH, cabaran PRK Parlimen Tanjung Piai - Anwar

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
Datuk Seri Anwar Ibrahim
JEMPOL, 9 Nov -- Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran hebat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ini sekiranya rakyat menilai prestasi semasa pakatan itu dalam mentadbir kerajaan selama lebih setahun, kata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagaimanapun sekiranya rakyat dapat memahami betapa sukarnya kerajaan hari ini mengendali dan mengemudi pentadbiran sekarang, mereka (rakyat) akan berikan sokongan.

“Kita akui memang ada cabaran, sebab orang (rakyat) ukur kita bukan berbanding dengan yang lama (kerajaan terdahulu), kalau berbanding yang lama kita akan menang, tetapi mereka (rakyat) ukur kita setelah satu tahun setengah kita perintah.

“Tetapi saya yakin Insyaallah sekiranya mereka dapat fahami betapa sukarnya kita mengendalikan dan mengemudi pentadbiran hari ini, mereka akan beri sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Negeri yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzi dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan dan kepimpinan keseluruhannya tidak boleh mengharapkan dokongan rakyat terus menerus sekiranya tidak dapat menjana pertumbuhan ekonomi secara positif dan tidak dapat agihkan kekayaan itu kepada rakyat.

Justeru katanya tugas jentera pilihan raya bagi PRK Parlimen Tanjung Piai haruslah memberi penjelasan kepada rakyat apa yang kerajaan hari ini warisi dari kerajaan terdahulu dan apakah langkah yang telah kerajaan ambil untuk mengatasinya.

“Kadang-kadang maklumat itu tidak sampai, jadi itulah tugas kita untuk sampaikan agar rakyat dapat gambaran sebenar kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu di Hospital Pontian pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung, dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi pada 16 Nov.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon dari PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Mengenai konvensyen pada hari ini, Anwar menegaskan parti itu perlu kembali berbicara soal rakyat, masalah kemiskinan, di samping membantu kerajaan dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya mahu ahli-ahli jangan lupa terutamanya bila kita tubuh kerajaan kita sibuk dengan jawatan, perebutan, pengaruh kuasa... kita mesti ingat parti ditegakkan untuk jaga kepentingan rakyat,” katanya.

Konvensyen sehari itu disertai kira-kira 800 ahli PKR dari seluruh Negeri Sembilan.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu