Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 6h ago ]

Bayi keturunan Cina turut diraikan dalam Program Permata Maulidur Rasul

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
KUALA TERENGGANU, 9 Nov -- Seorang bayi perempuan berketurunan Cina antara 44 bayi yang diraikan pada Program Permata Maulidur Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul 2019 Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Bapa kepada bayi berkenaan, Fong Tuck Ming, 39, berkata beliau berasa sungguh terharu kerana kesediaan pihak hospital turut meraikan anak itu pada program berkenaan walaupun datang daripada keluarga bukan Islam.

Beliau berkata ia menunjukkan sikap murah hati dan nilai perpaduan tinggi antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negeri ini yang amat beliau kagumi.

"Pada mulanya saya sangkakan hanya bayi rakan beragama Islam sahaja yang diraikan, tetapi rupa-rupanya bayi kami pun tidak disisihkan.

Saya dan isteri, Sun Liang, 34, amat berterima kasih kepada pihak hospital dan juga kerajaan negeri yang menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan bayi kepada kami hari ini," katanya ketika ditemui pada Program Permata Maulidur Rasul di HSNZ, di sini hari ini.

Sumbangan disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sejumlah 56 bayi terdiri daripada 31 lelaki dan 25 perempuan diraikan di seluruh Terengganu hari ini.

Mengulas lanjut, Fong yang berasal dari Negeri Sembilan berkata, kehadiran bayi ini memang ditunggu-tunggu oleh beliau dan isterinya sejak sekian lama.

Menurut beliau isterinya pernah hamil dua kali sebelum ini, tetapi kedua-duanya keguguran.

"Sudah lima tahun kami menanti kehadiran anak kecil dan selepas mengharungi kepayahan, akhirnya isteri saya berjaya lahirkan bayi perempuan seberat 2.65 kilogram pada pukul 8.50 malam tadi.

"Bayi ini juga akan menjadi satu-satunya cahaya mata kami kerana isteri sudah tidak boleh mengandung disebabkan ada banyak komplikasi," katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu