CAAM sahkan disenaraikan sebagai pengawal selia penerbangan kategori 2 [ 4h ago ]

Beri peluang, masa untuk kerajaan PH laksana janji

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
PONTIAN, 9 Nov -- Rakyat diharap memberi peluang dan masa bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan segala janji terutama program-program yang dilihat akan memberi manfaat kepada rakyat.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata meskipun pelbagai program telah direncanakan, namun kerajaan masih memerlukan masa untuk melaksanakannya terutama yang melibatkan kesejahteraan rakyat.

“Itu yang kita harap rakyat perlu sabar sedikit. Bila kita dipilih jadi kerajaan, kita ada lima tahun...lima tahun pun belum habis..baru 18 bulan. Berikan masa kita untuk laksanakan semua ini.

“(Dan) dalam tempoh ini, kita boleh lihat bahawa kita masih teruskan program-program kebajikan, pembangunan dan sebagainya dan kedudukan Malaysia tidak terjejas. Kita masih dapat keyakinan daripada pelabur dan juga daripada syarikat penarafan kredit,” kata beliau kepada pemberita sebelum sesi Bicara Kopitiam berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Kukup, di sini, hari ini.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata adalah penting baginya untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai program-program ini serta beberapa program yang tidak dapat dilaksanakan kerana sebagai sebuah kerajaan baharu, kerajaan PH terpaksa menyelesaikan banyak masalah yang diwarisi daripada kerajaan sebelum ini.

Sebagai kerajaan PH yang berjiwa rakyat, beliau berkata sudah menjadi keutamaan kepada kerajaan PH mendengar segala rintihan rakyat dan mencari jalan untuk mengatasinya seperti mewujudkan peluang pekerjaan.

“Jadi berikan masa untuk kita laksanakan semua janji. Semua janji kerajaan PH yang dibuat, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.

“Ini adalah prinsip dan dasar kerajaan PH yang ditegaskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad apabila kita ada mesyuarat tempoh hari bahawa kerajaan tetap akan pegang pada janji tetapi tolong beri masa,” kata beliau.

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat di Parlimen Tanjung Piai untuk terus memberi sokongan kepada PH supaya program-program pembangunan yang telah direncanakan oleh Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik akan dapat disempurnakan.

“Marilah kita habiskan (laksanakan), lengkapkan hasratnya untuk bawa apa yang beliau (Dr Md Farid) telah rancangkan agar ia dapat dijadikan sebagai satu realiti,” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang ditetapkan hari pengundian pada 16 Nov, diadakan berikutan kematian Dr Md Farid akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

Calon PH Karmaine Sardini berdepan calon-calon daripada Barisan Nasional (BN), Gerakan, Berjasa dan dua calon bebas.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu