Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 8h ago ]

Bekas rektor KUIPSAS terima Anugerah Pendidikan Sambutan Maulidur Rasul Pahang 2019

Tarikh kemaskini: 09/11/2019
KUANTAN, 9 Nov -- Bekas rektor Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) Datuk Yahya Zainal Abidin dipilih sebagai penerima Anugerah Pendidikan Sambutan Maulidur Rasul Pahang 2019 yang berlangsung malam ini.

Beliau menerima wang tunai RM5,000, sijil penghargaan dan trofi yang disampaikan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada sambutan di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di sini.

Yahya, 65, yang merupakan anak jati Kampung Pesagi, Chenor di Maran dekat sini, merupakan tulang belakang pasukan menaik taraf KUIPSAS yang sebelum ini berstatus kolej kepada kolej universiti pada tahun 2014.

Sehubungan itu, beliau mendedikasikan anugerah itu kepada seluruh pasukan menaik taraf KUIPSAS yang disifatkan sebagai kemenangan bersama dalam memartabatkan pendidikan Islam di Pahang.

"Anugerah ini juga bagi saya menunjukkan pengiktirafan kerajaan negeri kepada KUIPSAS dalam sumbangan kami terhadap perkembangan pendidikan Islam di Pahang.

Saya berharap anugerah ini akan menjadi pendorong kepada semua pentadbiran pendidikan Islam khususnya KUIPSAS untuk terus berjuang dan mencari ruang bagi menambah baik sektor pendidikan demi generasi muda kita," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Yahya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga bersyukur kerana terpilih dalam usaha melahirkan golongan terpelajar Islam sehingga ada yang kini bergelar pensyarah, usahawan dan juga pendakwah disegani.

Pada majlis itu, bekas Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz, 59, menerima Anugerah Daie sebagai penghargaan antaranya kepada usaha beliau mengasaskan beberapa program berbentuk dakwah dan kerohanian di negeri ini.

Sebagai contoh, beliau mengasaskan Dakwah Perdana Darul Makmur, Program Masjid Gemilang Negeri Pahang, Kempen Membaca al-Quran 2018 selain berjaya berdakwah di beberapa perkampungan Orang Asli sekitar Rompin dan Temerloh.

Anugerah Ummah pula diberikan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Idris Omar, 84, yang mengasaskan Pertubuhan Anak Yatim dan Kebajikan Darul 'Izzah di Selangor dan Temerloh serta aktif dalam banyak pertubuhan kebajikan di sini.

Antara pengisian majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 umat Islam sekitar daerah ini, ialah ceramah agama oleh pendakwah terkenal Don Daniyal Don Biyajid dan persembahan nasyid oleh kumpulan Rabbani.

Turut diadakan ialah perarakan melibatkan penyertaan 28 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, pihak swasta, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan tinggi (IPT) dan sekolah di Pahang.

Perarakan terbaik bagi agensi kerajaan dimenangi oleh Jabatan Kerja Raya Pahang manakala Pusat Kutipan Zakat Pahang mengungguli kategori pihak swasta, badan berkanun dan NGO dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah di Muadzam Shah, Rompin memenangi kategori IPT dan sekolah.

Setiap pemenang membawa pulang wang tunai RM1,500, trofi dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu