Pengeluar produk makanan sunnah perlu kemuka kajian saintifik [ 7h ago ]

Bantu jayakan inisiatif hantar pelajar kurang berkemampuan ke menara gading - pengasas YPM

Tarikh kemaskini: 09/11/2019

PUTRAJAYA, 9 Nov -- Yayasan Pendidikan Malaysia (YPM) berharap lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan terhadap usaha yang dilakukannya dalam membantu pelajar kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Pengasas YPM, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata sokongan itu boleh diberikan dalam bentuk sumbangan kewangan, geran dan kerjasama strategik, khususnya oleh institusi pengajian untuk menawarkan tempat kepada pelajar terbabit.

"Secara asasnya, YPM menyediakan bantuan pemudahcara kepada semua kaum dari golongan B40 dan asnaf melanjutkan pelajaran ke menara gading melalui Program Selangkah Ke Menara Gading.

"Melaluinya, pelajar terpilih yang berdaftar dengan YPM akan diberikan bantuan awalan melibatkan yuran pengajian, penginapan, pengangkutan serta diberikan elaun bulanan dan kelas bahasa Inggeris," katanya pada majlis makan malam dan apresiasi yayasan itu di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Muhamad Akmal berharap majlis makan malam itu akan menjadi platform memperkenalkan inisiatif yang dijalankan YPM seterusnya menarik perhatian individu, badan bukan kerajaan, syarikat korporat, dan agensi kerajaan untuk menyumbang ke arah memperkasakan usaha yang dilakukan.

Beliau berkata setakat ini, lebih 400 pelajar telah mendapat faedah daripada inisiatif yang dilakukan YPM sejak penubuhannya pada 2013.

Pada majlis itu, 10 pelajar tajaan YPM yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan merekodkan pencapaian terbaik dalam akademik diberikan anugerah khas yang disampaikan oleh Khalid.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu