Musim tengkujuh rezeki pengusaha ikan pekasam [ 1h ago ]

TMS labur RM50 juta bangunkan kilang pengeluaran bas di Seremban

Tarikh kemaskini: 11/11/2019
SEMENYIH, 11 Nov -- Penyedia perkhidmatan pengangkutan bas Terus Maju Services Sdn Bhd (TMS) melabur kira-kira RM50 juta bagi membangunkan sebuah kilang di Seremban, Negeri Sembilan dalam usaha menampung permintaan terhadap pengangkutan itu termasuk bas elektrik (e-bas) untuk pasaran ASEAN.

Pengarah Urusannya, K S Loo berkata fasa pertama kilang tersebut yang akan dibina di kawasan seluas 8.5 ekar, dijangka beroperasi menjelang suku pertama 2021 dengan pengeluaran awal sebanyak 400 bas dengan kapasiti penuh mencecah 600 unit.

“Kami optimis terhadap potensi peningkatan permintaan di pasaran ASEAN bagi tiga tahun berikutnya. Selepas berjaya mengeksport bas ke Singapura dan Myanmar, kami kini menyasarkan untuk memperluaskan usaha itu ke Laos sebelum Tahun Baru Cina 2020 dan seterusnya ke Kemboja dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan lapan unit bas TMS12 daripada rangkaian TMS Chassis kepada pelanggan selain pemeteraian perjanjian dengan syarikat China, Zongtong Bus Holding Co Ltd serta LA Coach Master (Myanmar) Co Ltd di sini, hari ini.

Acara itu disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

TMS yang sebelum ini mengendalikan sistem pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk pelbagai syarikat automotif, kini berupaya mengeluarkan 95 peratus komponennya sendiri di kilang tempatan dan baki komponen itu diimport.

Mengulas kerjasama dengan Zongtong Bus, Loo berkata syarikat China itu akan membawa masuk aspek teknologi kejuruteraan maju kepada TMS bagi pengeluaran e-bas berkenaan.

“Projek rintis itu akan dilaksanakan pada tahun depan bagi melihat kejayaan (projek) e-bas dan menentukan perancangan termasuk pengeluaran bas tersebut," katanya.

Zongtong Bus yang memiliki aset berjumlah 150 bilion yuan (RM1=1.69 yuan), setakat ini menjual produknya ke lebih 100 negara.

Loo berkata, walaupun kos e-bas itu berkemungkinan mencecah sekitar US$250,000 (US$1=RM4.138) seunit berbanding RM480,000 bagi sebuah bas biasa, ini masih positif dari segi perlindungan alam sekitar serta kos penyelenggaraan yang rendah.

Menurutnya, kerjasama dengan LA Coach Master dari Myanmar pula menyaksikan syarikat asing itu membeli 50 unit bas dengan sistem pemanduan sebelah kiri membabitkan pelbagai model dari TMS yang dihantar secara berperingkat.

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu