Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia [ 4h ago ]

Platform jualan dalam talian melepasi jualan 11.11.2018

Tarikh kemaskini: 11/11/2019
Oleh Azlee Nor Mahmud & Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 11 Nov-- Dalam masa beberapa jam selepas bermulanya festival membeli belah dalam talian 11.11 di seluruh dunia, kebanyakan platform jualan dalam talian telah melepasi rekod penjualan tahun lepas.

Menurut Alizila, portal berita dalam talian kumpulan Alibaba, jualan bagi portal e-dagang itu telah mencecah US$12.01 bilion dalam jam pertama tahun ini -- hampir 40 peratus daripada jumlah jualan pada 11.11 tahun lepas.

Pengurus Besar Negara ShopBack Malaysia Eddy Han berkata ribuan pembeli dalam kalangan rakyat Malaysia membuat pembelian dalam talian dengan pantas sebaik sahaja ia dilancarkan malam tadi dan ShopBack Malaysia menyaksikan kesesakan dalam talian pada jam pertama.

“Ia meningkat lebih daripada 300 peratus berbanding jam yang sama (00.00 pagi – 01.00 pagi) tahun lepas, mewakili kira-kira 35 peratus daripada trafik keseluruhan pada 11/11/2018.

“Berbanding jam yang sama pada hari lain pada November, pertumbuhan trafik melebihi 1,200 peratus daripada biasa dan pada 9.30 pagi, kami telah mencapai trafik keseluruhan pada 11/11 tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiga kategori paling popular ialah pasaran, e-dompet serta fesyen dan kecantikan, manakala tiga perniagaan utama terbaik untuk jam pertama ialah Lazada, Shopee dan Taobao.

ShopBack telah bekerjasama dengan lebih 500 e-perniagaan di Malaysia untuk menawarkan pulangan tunai 30 peratus menerusi ShopBack untuk membuat pembelian.

Senarai e-perniagaan termasuk Lazada, Shopee, ZALORA, Taobao Alibaba, Tmall and AliExpress,selain Agoda, Booking.com, KLOOK, TnG eDompet dan Boost eDompet.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata dalam tempoh sejam pelancarannya pada 11.11 tahun ini, portal jualan dalam talian itu mencatat jumlah tiga kali ganda yang dicapainya dalam tempoh sejam pertama pada 11.11 tahun lepas.

Beliau berkata produk yang mendapat sambutan termasuk kelengkapan rumah, barangan runcit, produk bayi, permainan, peranti mudah alih dan aksesori.

Dengan penghantaran percuma menerusi pembelian minimum RM11, tawaran pulangan tunai melebihi 111 peratus dan diskaun melebihi 90 peratus, pembeli menyertainya kerana sangat teruja, katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu dalam kenyataan hari ini, Lazada berkata ia telah melepasi rekod jualan 11.11. 2018 dalam tempoh 13 jam.

“Kami telah menjual melebihi sejuta barang semasa jam pertama jualan dan menghantar bungkusan pertama kepada pelanggan pada 1:20 pagi ini - suatu rekod yang luar biasa.

“Kami berhasrat menyambut kemuncaknya selepas tengah malam ini,” katanya.

Sementara itu Pengasas Bersama Fave, Joel Neoh Eu-Jin berkata platform kesetiaan dan pembayaran itu menyaksikan jumlah jualan meningkat enam kali ganda dalam tempoh sejam pelancaran jualan 11.11.

“Untuk kali kedua selepas mencatat pertumbuhan positif pada tahun lepas, Fave mencatat permintaan kukuh dengan kesihatan dan kecantikan serta penjualan makanan dan minuman menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah jualan bersempena kempen 11.11,” katanya.

--BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu