Kekacauan Sosial: Biro pendidikan Hong Kong pertimbang hukum 30 guru kerana salah laku profesional [ 28m ago ]

Malaysia tidak perlukan pakej ransangan - HSBC Malaysia

Tarikh kemaskini: 11/11/2019
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Malaysia tidak memerlukan pakej rangsangan pada masa ini kerana kerajaan sangat berhemat dalam menguruskan ekonomi, kata Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia Stuart Milne.

Beliau berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2020 akan membantu menyokong ekonomi negara.

"Saya fikir apa yang kerajaan sedang lakukan adalah sangat wajar. Jelas sekali jika anda melabur wang, anda perlu memastikan anda mampu membelanjakan wang, dan kerajaan sangat berhati-hati dalam memastikan ia mampu melindungi penarafan hutang antarabangsanya, yang mana ia adalah sangat bijak.

"Dan melihat bagaimana Malaysia boleh terus membangun lagi dan memastikan negara menjadi sebuah negara maju, menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara adalah sangat penting,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman dapatan kaji selidik terbaharu HSBC 'Navigator: Now, next and how’, di sini, hari ini.

Milne juga memuji inisiatif kerajaan yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 seperti menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi daripada syarikat unicorn (syarikat pemula niaga bernilai lebih 1 bilion) dan Fortune 500 global serta ‘saluran khas’ untuk menarik pelaburan dari China yang ditubuhkan di bawah InvestKL.

"Secara peribadinya, saya telah melihat banyak syarikat China, malahan kami memperkenalkan ramai pelanggan kami kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal tahun ini dan mereka berminat untuk membuka perniagaan di sini,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan mungkin menimbang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi sekiranya keadaan ekonomi global menjadi semakin buruk tahun depan, sambil menambah perkara itu telah dibincangkan pada mesyuarat Kabinet sebelum dan selepas pembentangan Belanjawan 2020.

-- BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu