Saham Cahya Mata Sarawak meningkat selepas peroleh kontrak selenggara jalan [ 8m ago ]

Sektor pembinaan susut 0.6 peratus pada suku ketiga 2019

Tarikh kemaskini: 11/11/2019
KUALA LUMPUR, 11 Nov -- Nilai kerja-kerja pembinaan bagi tempoh suku ketiga 2019 menguncup 0.6 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM36.1 bilion berbanding RM35.9 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata subsektor kejuruteraan sivil mencatat pertumbuhan tertinggi bagi suku ketiga 2019 pada 7.5 peratus, diikuti aktiviti subsektor perdagangan khas pada 2.8 peratus.

"Bagaimanapun, subsektor bangunan kediaman dan bukan bangunan kediaman berkurangan masing-masing sebanyak 2.7 peratus dan 11.6 peratus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, subsektor kejuruteraan sivil kekal sebagai penyumbang utama terhadap nilai kerja-kerja pembinaan dengan meyumbang 46.1 peratus diikuti bangunan bukan kediaman (24.8 peratus), bangunan kediaman (24.2 peratus) dan aktiviti perdagangan khas (4.9 peratus).

Mohd Uzir berkata sektor swasta juga kekal menjadi pemacu kegiatan pembinaan yang meliputi 54.3 peratus daripada nilai kerja-kerja pembinaan (RM19.6 bilion) berbanding sektor awam pada 45.7 peratus (RM16.5 bilion).

-- BERNAMA








       Berita Utama Terdahulu