PGA Sarawak rampas rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM1.4 juta [ 7m ago ]

Potensi Kinabatangan Perkasa Pelancongan Sabah

Tarikh kemaskini: 12/11/2019
Oleh Rohana Nasrah

Wartawan Bernama di Kota Kinabalu, Sabah, Rohana Nasrah menyingkap kehidupan gajah di bumi Sabah serta kebimbangan ia akan pupus sekiranya tiada langkah tegas menangani perbuatan pemburu haram membunuh haiwan ini sesuka hati mereka.

Untuk bahagian akhir dari 5 bahagian ini, Rohana menelusuri Hilir Sungai Kinabatangan sejauh 10 kilometer untuk menyaksikan sendiri Gajah Pgymy Borneo dalam habitat semula jadi.

KOTA KINABALU (Bernama) -- Menyusuri Sungai Kinabatangan, tanpa menghiraukan ia "kediaman sang bedal" , semata-mata untuk memuaskan hati bagi menyaksikan sendiri spesies Gajah Pygmy Borneo, berkeliaran dalam habitat semula jadi.

Itulah yang penulis lakukan termasuk untuk mencari bahan bagi bahagian akhir rencana mengenai hidupan liar bumi Sabah ini yang mungkin pupus jika dibiar terus menjadi mangsa pemburuan haram!

Bermula dari Kampung Sukau, menaiki kereta pacuan empat roda yang dipandu jurugambar Bernama, Arjasneh Ahmad, destinasi yang dituju jeti Kampung Bilit yang terletak di hilir Sungai Kinabatangan. Perjalanan ini memakan masa kira-kira 20 minit.

Kampung Bilit adalah antara kampung yang di hilir Sungai Kinabatangan, sekitar 375 kilometer dari Kota Kinabalu.

Cuaca memang panas. Sampai di jeti, sudah hampir pukul 12 tengahari. Setelah mendapat bot untuk disewa, kami terpaksa menunggu sehingga sekitar pukul 4-4.30 petang iaitu masa yang sesuai untuk bergerak.
Wartawan Bernama, Rohana Nasrah menelurusi hilir Sungai Kinabatangan untuk melihat sendiri Gajah Pygmy Borneo. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Itu pun pemandu bot, Saib Sabri, 37, anak tempatan Kampung Bilit memberitahu dia tidak dapat menjamin sekiranya kami dapat melihat gajah atau tidak. Katanya, "bergantung kepada nasib."

Saya melihat banyak chalet sekitar kawasan jeti dan bot ditambat di jeti chalet masing-masing. Kawasan jeti nampaknya menjadi tumpuan pelancong yang seperti penulis mahu mencuba nasib untuk melihat Gajah Pygmy Borneo.

Sebelum memulakan perjalanan menelusuri Sungai Kinabatangan kira-kira 4.30 petang 15 Okt lepas, Saib terlebih dahulu mengingatkan penulis dan jurugambar beberapa perkara iaitu memakai jaket keselamatan, tidak boleh berada terlalu dekat dan berbuat bising semasa menyaksikan gajah selain perlu bergerak pulang ke jeti sebelum jam 6 petang sebagai langkah keselamatan.

Tambahan, hari mula gelap di kawasan Sungai ini mulai pukul 6 petang.


Antara pelancong yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan gelagat Gajah Pygmy Borneo yang keluar mencari makan di tebing hilir Sungai Kinabatangan. --fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

SUNGGUH UNIK

"Sungguh menakjubkan!

Spontan hati penulis berbisik tatkala terbentang di hadapan mata sekumpulan Gajah Pgymy Borneo, yang sedang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan.

Penantian penulis selama lebih tiga jam di Jeti Kampung Bilit dan kemudiannya menyusuri sejauh 10 kilometer ke hilir Sungai Kinabatangan yang mengambil masa kira-kira setengah jam, tenyata berbaloi kerana misi untuk melihat lebih dekat hidupan liar tersebut, yang sememangnya mempunyai nilai keunikan tersendiri untuk menarik kehadiran pelancong ke kampung itu dan kampung berhampiran, akhirnya tercapai.

Penulis juga terkejut serta tidak menyangka setibanya di lokasi, kira-kira pukul 5 petang, terdapat kira-kira 13 bot pelancong lain, setiap daripadanya membawa antara enam hingga lapan pelancong luar negara. Ternyata gajah ikon Sabah ini turut menarik minat pelancong asing.

Bukan penulis sahaja yang berasa seronok dan teruja menyaksikan gelagat 16 ekor gajah termasuk dua anak gajah sedang mengunyah rumput serta meminum air sungai dengan aman, tidak langsung kisah akan kami yang sibuk menghalakan lensa kamera untuk merakam gambar dan video.

Sesekali terdengar bunyi gajah-gajah tersebut "bertempik", seakan-akan menyapa kedatangan kami.

Gajah Pygmy Borneo, khazanah Sabah yang perlu dipelihara supaya tidak pupus akibat pemburuan haram. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA


SUKAR DIJANGKA

Menurut pemandu bot pelancong, Roslan Ali, 31, kehadiran kumpulan gajah liar di tebing Sungai Kinabatangan sukar dijangka dan mereka juga tidak dapat memastikan mahupun memberi jaminan di mana lokasi sebenar haiwan liar tersebut.

Berkongsi berpengalamannya kepada Bernama, Roslan berkata, ia bergantung kepada tuah setiap pelancong kerana berkemungkinan gajah tidak ada di sungai sebaliknya mencari makanan di kawasan lain termasuk di dalam hutan.

“Kadang-kadang tiga bulan sekali baru boleh nampak gajah. Tidak selalu ada peluang. Biasalah… Inikan alam semula jadi. Pelancong akan sangat puas hati dan merasa bertuah jika dapat menyaksikan gajah,” katanya yang sudah empat tahun membawa pelancong bersiar di sepanjang Hilir Sungai Kinabatangan.

Sementara itu, Saib turut mengakui hal tersebut kerana beliau juga tidak dapat memastikan mahupun menentukan keberadaan gajah kerana hidupan liar itu sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari makanan.

“Kehadiran gajah di tebing sungai ini seperti menjadi satu kejutan dan bergantung kepada tuah. Jika ada gajah, maka sudah pasti para pelancong akan merasa teruja dan gembira kerana mereka berpeluang menyaksikannya,” kata Saib yang juga dikenali dengan panggilan "Joy".



TARIKAN PELANCONG

Estetika panorama alam semula jadi disajikan di sepanjang Hilir Kinabatangan itu sememangnya memukau mata sesiapa sahaja berkunjung ke sini.

Justeru, tidak hairanlah kawasan Hilir Kinabatangan yang antara lain merangkumi Kampung Batu Puteh - Kampung Bilit - Kampung Abai - Kampung Sukau sering menjadi tumpuan pelancong terutama dalam kalangan mereka yang cintakan keindahan alam semula jadi.

Perkara ini dikongsi Abdul Karim Abdul Hamid, 66, yang berpengalaman selama 25 tahun dalam industri pelancongan di Hilir Kinabatangan.

Menurut beliau, selain gajah pygmy, terdapat beberapa hidupan liar lain termasuk orang utan dan monyet proboscis yang turut menjadi antara tarikan pelancong ke kawasan itu.

Maka wajarlah gajah pygmy termasuk hidupan liar lain dipelihara dengan baik supaya ia tidak pupus, dan dalam masa sama, memastikan tidak berlaku konflik antara manusia dan gajah.

“Gajah pygmy dan hidupan liar lain yang ada di sini menjadi daya tarikan pelancong ke Sabah khususnya Kinabatangan. Ribuan pelancong dalam dan luar negara datang ke sini setiap tahun,” katanya.



JANA PENDAPATAN

Saib turut mempunyai pandangan sama dengan Abdul Karim kerana menurutnya industri pelancongan di Kinabatangan mempunyai permintaan tersendiri yang berpotensi menjana pendapatan penduduk kampung menerusi perkhidmatan bot pelancong dan rumah inap desa.

Beliau juga mahu ekosistem habitat gajah sentiasa terjaga dan selamat supaya lebih ramai pelancong berpeluang untuk menyaksikan sendiri keunikan spesies tersebut.

Saib berkata beliau mampu menjana pendapatan sehingga lebih RM2,000 sebulan menerusi perkhidmatan bot persiaran pelancong diusahakannya sejak 2014 terutama pada musim puncak dan cuti sekolah.

Pada musim puncak, kira-kira 30 hingga 40 pelancong menyewa bot peribadi miliknya dengan hanya dikenakan caj RM200 hingga RM250 bagi pelancong asing dan RM150 hingga RM160 kepada pelancong tempatan untuk satu perjalanan pergi dan balik.

“Antara pelancong luar negara yang pernah saya bawa menaiki bot untuk bersiar di sepanjang Hilir Sungai Kinabatangan termasuk dari Belanda, Itali dan Perancis. Saya juga pernah membawa beberapa pelajar dan pengkaji dari universiti,” katanya.



KINABATANGAN PUSAT PERTUNJUKAN GAJAH KEPADA DUNIA

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew memberitahu Bernama, bagi memastikan ekologi hidupan liar termasuk gajah terus terpelihara di masa depan, sebuah syarikat Jepun iaitu Saraya Co. Ltd serta NGO Borneo Conservation Trust (BCT) Jepun dan BCT Sabah menyerahkan 38 plot tanah seluas 93 hektar di Hilir Kinabatangan kepada JHL Sabah, baru-baru ini.

Liew berkata kesemua plot tanah bernilai RM4.5 juta itu dibeli oleh Saraya Co. Ltd dan BCT Jepun untuk diwartakan sebagai sebahagian daripada Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan.

Ia juga inisiatif menggabungkan kawasan tidak dilindungi di Santuari itu dengan kawasan perlindungan sedia ada berkeluasan lebih 20,000 hektar.

Penambahan plot tanah itu juga dilihat dapat menyediakan kesalinghubungan pergerakan hidupan liar gajah selain mewujudkan koridor makanan untuk haiwan tersebut, katanya.

“Apabila ia digazetkan sebagai koridor makanan gajah, pihak kami mahu ada keterlibatan dengan penduduk tempatan berhampiran untuk menanam tanaman sesuai untuk makanan gajah. Saya berharap Kinabatangan akan menjadi contoh dalam usaha pemuliharaan gajah,” katanya.

Liew selaku Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, optimis, Sabah khususnya Hilir Kinabatangan mampu menjadi jendela kepada dunia bahawa gajah di negeri ini boleh hidup dengan manusia secara harmoni.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------



RUANGAN SISI

EKOPELANCONGAN BERPOTENSI BESAR

Kinabatangan khususnya di kawasan hilir daerah itu sememangnya diakui memiliki keistimewaan tersendiri menerusi kepelbagaian biodiversiti unik seperti gajah, orang utan, monyet serta pelbagai lagi spesies burung yang sekali gus menjadikan ia sebagai destinasi tumpuan dunia.

Menurut Pengarah HUTAN (sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan Perancis) Dr Isabelle Lackman, keistimewaan itu secara jelas memperlihatkan sektor ekopelancongan di Kinabatangan berpotensi besar kerana daerah itu berupaya menawarkan kelainan.

“Hanya di Kinabatangan pelancong boleh melihat secara langsung orang utan, gajah dan monyet proboscis. Kinabatangan memang sangat cantik. Banyak spesies hidupan liar unik di dunia ada di sini termasuk spesies burung. Ekopelancongan di sini memang sangat berpotensi besar,” kata pengkaji itu yang menjalankan Projek Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan sejak 1998.

HUTAN yang berdaftar di Perancis bergiat aktif dalam usaha konservasi hidupan liar dan alam sekitar. NGO itu bekerjasama rapat dengan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Selama 20 tahun tinggal di Kampung Sukau bersama penduduk majoriti suku kaum Sungai, Isabelle melihat kebudayaan serta kesenian terutama tarian orang Sungai mempunyai nilai estetika tersendiri yang mampu memukau para pengunjung, dan tradisi suku kaum itu boleh dihidupkan semula menerusi sektor pelancongan.

Isabelle turut berharap penduduk Kinabatangan boleh mewujudkan suasana kehidupan bersama dengan hidupan liar bagi memastikan kelangsungan hidup setiap spesies yang terdapat di sana.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA






       Berita Utama Terdahulu