Jeti baharu di Dataran Regatta Lepa mampu jadi tarikan pelancong ke Semporna [ 10m ago ]

Dr Mahathir hadir Sesi Dialog bersama penjawat awam Johor

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KULAI, 14 Nov -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghadiri Sesi Dialog bersama penjawat awam negeri Johor dan persekutuan di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Sesi itu yang menyentuh mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) berlangsung selama sejam dan turut disertai Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

WKB 2030 yang dilancarkan kerajaan pusat pada Oktober lepas merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun bermula 2021-2030 serta kelangsungan kepada Wawasan 2020, mengambil kira keadaan semasa dan jangkaan keadaan yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ia juga bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan tetapi pada masa sama dapat menangani jurang kekayaan dan pendapatan dalam pelbagai peringkat.

Terdahulu, Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memulakan jadualnya hari ini dengan bersarapan pagi bersama masyarakat sekitar di Warung 800, Pekan Nanas, Pontian. Turut serta calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini. Pengundian ditetapkan Sabtu ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu