FAS anjur Asia Challenge 2020, persiapan jadi kelab bola sepak unggul di Asia [ 14m ago ]

Penurunan taraf keselamatan udara, Malaysia tuntut penjelasan FAA - Mahathir

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
PONTIAN, 14 Nov -- Malaysia menuntut penjelasan daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) berikutan tindakan badan itu menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia daripada Kategori 1 kepada Kategori 2.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penjelasan itu penting supaya Malaysia boleh mencari jalan dan memperbaiki keadaan.

“Kita nak tahu apa sebenarnya penurunan ini, apa kesannya dan kita akan atasi. Kalau dia kata tidak cekap dan sebagainya, lapangan terbang KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) antara 20 terbesar dunia.

“Malah orang kita (Malaysia Airports Holdings Berhad) diberi kepercayaan mengurus Istanbul Sabiha Gokcen International Airport (di Turki), itu bukan kecil.

“Sekarang pun ada jemputan negara lain untuk urus lapangan terbang dengan selamat. Selain itu, pilot diterima bulat-bulat di Indonesia, China, Arab. Jadi kita terkenal sebagai orang yang berkebolehan. Orang kita kalau kerja di luar negeri, mereka bukan pelayan. Mereka profesional, pilot, engineers, arkitek, mereka dihormati, dan gaji mereka sama dengan gaji profesional Eropah,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian selepas menghadiri sesi sarapan pagi bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) Tanjung Piai di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PH bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dr Mahathir sebelum ini dilapor berkata kerajaan akan mengambil langkah perlu jika terdapat apa-apa yang salah dengan pihak berkuasa penerbangan awam Malaysia.

Menurut laporan Reuters, FAA telah menurunkan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia, melarang syarikat penerbangan negara itu daripada menambah penerbangan ke Amerika Syarikat.

FAA menurunkan penarafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai pengawal selia penerbangan Kategori 2 susulan kajian semula ke atas CAAM oleh FAA yang dilaksanakan pada April 2019.

-- BERNAMA



       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu