Program Kesatria Malaysia berhasil bawa 145 acara perniagaan [ 10m ago ]

Sathianathan tidak letak harapan tinggi raih anugerah jurulatih terbaik

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Ketua jurulatih Selangor, B Sathianathan menyifatkan pencalonannya dalam kategori Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 yang bakal berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, esok merupakan satu pemangkin semangat untuk dirinya mencipta lebih kejayaan bersama skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Bekas jurulatih kebangsaan itu yang sah terus mengendalikan Selangor pada musim depan menjelaskan, pencalonan tersebut adalah hasil daripada berkat kesabarannya membimbing skuad Gergasi Merah yang melalui detik penuh mencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim ini.

Pengendali berusia 61 tahun itu bagaimanapun, tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi anugerah Jurulatih Terbaik memandangkan dua calon lain iaitu ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh dan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak turut melakar keputusan positif bersama pasukan masing-masing.

“Saya seorang yang hidup dalam realiti dan bukan suka berangan-angan, saya memang tidak berapa yakin untuk menang kali ini kerana Aidil Sharin dan Dollah mempunyai peluang lebih tinggi.

“Aidil Sharin membawa Kedah muncul juara Piala FA, selain ke final Piala Malaysia, dan kedudukan di tangga keempat Liga Super, manakala Dollah membawa Pahang sebagai naib juara Liga Super, selain ke separuh akhir bagi Piala FA dan Piala Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia, hari ini.

Sebagai rekod, Sathianathan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik sebanyak tiga kali, iaitu ketika bersama Kelantan pada 2010, diikuti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2012, dan kali terakhir bersama Felda United pada 2017.

Berkongsi pandangan sama adalah Dollah yang tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah jurulatih terbaik yang kali terakhir dimenangi pada 2013, selain menjangkakan Aidil Sharin merupakan calon terbaik untuk menerima anugerah berkenaan berdasarkan reputasi cemerlang yang dilakar jurulatih kelahiran Singapura itu bersama skuad Lang Merah pada musim ini.

“Sudah banyak kali saya sentiasa tercalon, cuma kali terakhir saya menang ialah pada 2013, sudah agak lama juga iaitu dekat enam tahun, namun peluang untuk saya menang agak tipis kerana saya berasakan Aidil Sharin orang yang lebih layak selepas membawa Kedah, dua kali ke final dan berjaya memenangi Piala FA,” jelas Dollah yang pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2014 hingga 2015.

Aidil Sharin pula sudah melahirkan rasa bersyukur kerana tercalon dalam senarai akhir tiga jurulatih terbaik, dan tidak meletakkan sebarang sasaran khusus memandangkan musim ini adalah kali pertama beliau mengendalikan pasukan Liga-M.

“Saya rasa bersyukur selepas tercalon dalam ‘Top 3’ bersama pesaing-pesaing yang cukup hebat dan saya tidak kisah mengenai menang atau tidak,” jelas bekas pengendali kelab Singapura, Home United itu.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu