Kira-kira 43,500 pelajar dapat manfaat Program Back to School [ 22m ago ]

Sulsel boleh belajar aspek urus, bangun sektor pelancongan Sabah

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
TAWAU, 14 Nov -- Provinsi Sulawesi Selatan (Sulsel), Indonesia boleh belajar daripada Sabah terutama dalam aspek mengurus serta membangunkan sektor pelancongan.

Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Sulistijo Djati Ismojo berkata Sabah menerima kemasukan 1,361,567 pelancong antarabangsa pada tahun lalu, dan itu menjadi bukti kepada pengurusan baik pelancongan Sabah membawa kepada tarikan jutaan pelancong.

"Berbanding Sulsel, berdasarkan data Biro Pusat Statistik, jumlah wisatawan (pelancong) asing yang berkunjung ke Sulsel adalah 1,478 setakat Julai tahun ini.

"Sepuluh negara yang menyumbang pelancong terbesar adalah dari Malaysia, Jerman, Perancis, Belanda termasuk Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Potensi Pariwisata Sulawesi Selatan sempena Wonderful Indonesia Festival 2019, di sini, hari ini.

Pelbagai program dijalankan sepanjang festival empat hari itu berlangsung yang dikelolakan KRI Tawau sehingga 17 Nov ini.

Dalam pada itu, Djati berkata Sabah memiliki banyak daerah pelancongan dan yang terkenal adalah Semporna yang menerima kemasukan pelancong lebih 1,000 setiap hari.

"Kegiatan promosi ini diharapkan dapat meningkatkan hubungan antara pengusaha pelancongan di Tawau dengan Sulsel.

"Perkongsian pengetahuan mengenai potensi pariwisata (tempat pelancongan) di kedua-dua wilayah boleh membentuk kerjasama yang mampu menarik lebih ramai pelancong," katanya lagi.

Pada seminar itu Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Indonesia (Asita) selain Kementerian Pariwisata Indonesia mempromosikan destinasi menarik pelancongan yang terdapat di Sulawesi Selatan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu