ShopBack Malaysia jangka beri rebat tunai bernilai RM500,000 bagi jualan 12/12 tahun ini [ 6m ago ]

Penerangan komprehensif perlu diberikan kepada pemilik tanah Kampung Baru - JPPH

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KUANTAN, 14 Nov -- Penerangan komprehensif mengenai pembangunan di Kampung Baru, Kuala Lumpur perlu diberikan kepada pemilik tanah di kawasan itu, kata Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Mohd Khairudin Abd Halim.

Beliau percaya penjelasan yang komprehensif bukan sahaja boleh membuatkan penduduk menerima kadar harga yang ditawarkan kerajaan tetapi juga menyambut baik saranan kerajaan untuk membangunkan kawasan segi tiga emas tersebut.

"Perlu jelaskan kenapa pembangunan di Kampung Baru diperlukan ...perlu banyak interaksi dilakukan sehingga boleh mendapat satu kesimpulan atau keputusan. Jika respons yang diterima positif, barulah tanah rizab Melayu itu boleh dibangunkan," katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Seminar Harta Tanah Wilayah Pantai Timur: Peluang dan Cabaran, di sini, hari ini.

Beliau juga berpandangan antara perkara yang wajib diselesaikan dengan teliti selain penetapan nilaian harga tanah di kawasan itu ialah status tanah wakaf dan tanah pusaka yang tidak dapat dikenal pasti pewarisnya.

"Ada pemiliknya yang mempunyai beratus cucu cicit sehingga tidak dapat dikenali dan hal ini perlu diselesaikan,” katanya.

Pada Isnin lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata kerajaan yakin pemilik tanah di Kampung Baru akan bersetuju dengan tawaran baharu bagi pembangunan semula kawasan itu pada harga RM1,000 satu kaki persegi kerana ia yang tertinggi pernah ditawarkan untuk mana-mana tanah rizab Melayu.

Beliau berkata harga RM1,000 satu kaki persegi itu adalah bersamaan dengan RM43.5 juta seekar (0.4 hektar).

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata prestasi pasaran hartanah amat menggalakkan di Wilayah Pantai Timur pada masa kini didorong oleh pembangunan beberapa projek berskala besar khususnya pembangunan infrastruktur.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu