Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia [ 4h ago ]

Jabatan Penjara perlu lebih ramai pegawai psikologi - Ketua Pengarah

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
MELAKA, 14 Nov -- Jabatan Penjara memerlukan lebih ramai pegawai psikologi bagi membantu banduan di dalam penjara mengurus emosi dengan baik selain memulih serta membina semangat dan keyakinan mereka khususnya yang menghadapi hukuman berat atau lama.

Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar berkata setakat ini jabatan itu hanya mempunyai seramai 45 pegawai psikologi untuk ditempatkan di 38 penjara di seluruh negara dan jumlah itu tidak mencukupi bagi menampung bilangan banduan yang semakin meningkat.

Beliau berkata kebanyakan penghuni penjara lebih suka berdiam diri, tidak mahu bercakap dan memendam perasaan sehingga memudaratkan diri sendiri antaranya menyebabkan kemurungan, keinginan bunuh diri serta mencederakan diri sendiri sepanjang berada di dalam penjara.

"Kita memerlukan lebih 100 pegawai psikologi dan sekurang-kurangnya dua orang ditempatkan di sebuah penjara bagi menangani pelbagai masalah atau tekanan yang dihadapi penghuni penjara. Kita telah mengemukakan permohonan penambahan perjawatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Kita harap (JPA) menerimanya secepat mungkin bagi menampung keperluan yang ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Terapi Seni Penghuni Jabatan Penjara bertemakan 'Ekspresi Tirai Besi' di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan ia turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata salah satu peranan pegawai psikologi ialah membantu penghuni penjara menjalani hukuman dengan lebih baik menerusi pemulihan terapi seni.

Beliau berkata menerusi kaedah yang mula diperkenalkan awal tahun ini, pegawai psikologi akan mengenal pasti penghuni penjara yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu untuk dicungkil atau diketengahkan bakat mereka.

"Menerusi terapi seni ini banduan dapat meluahkan perasaan atau emosi mereka melalui karya seni seperti lukisan, tenunan, arca, pertukangan dan muzik," katanya.

Beliau berkata sehingga kini, hampir 200 penghuni penjara di seluruh negara terlibat dalam program terapi seni tersebut dan hasil karya antaranya tenunan dijual kepada orang ramai.

Katanya kaedah itu juga dapat mempersiapkan banduan untuk menghadapi kehidupan luar penjara agar mereka dapat menjadi usahawan dan memperoleh pendapatan sendiri bagi meneruskan kehidupan yang lebih baik.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu