200 kanak-kanak dikhatankan dalam program Sunathon Borneo [ 7h ago ]

Dana PPP, TPPM untuk Pulau Pinang akan dibincang 25 Nov - Jagdeep

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
Jagdeep Singh Deo
GEORGE TOWN, 14 Nov -- Kerajaan Pulau Pinang akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung peruntukan kepada kerajaan negeri di bawah dua dana perumahan persekutuan, iaitu Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM) pada 25 Nov ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata surat permohonan dihantar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada 30 Ogos untuk memohon dana berjumlah RM100 juta daripada PPP (RM28 juta) dan TPPM (72 juta) untuk penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan perumahan di Pulau Pinang.

Beliau berkata beliau dijanjikan semasa mesyuarat di Bagan Jaya minggu lepas bahawa Pulau Pinang akan diberi layanan istimewa.

“Tak sampai seminggu selepas itu, pejabat saya menerima panggilan dari Putrajaya memaklumkan bahawa (sama ada) mereka akan datang ke Pulau Pinang atau kami ke Putrajaya, untuk membincangkan kedua-dua permohonan yang telah kami kemukakan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata sebelum kerajaan PH mengambil alih, hanya 28 daripada 154 permohonan projek bagi pembiayaan persekutuan di bawah Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) diluluskan.

Sementara itu, Jagdeep berkata dana yang dipohon di bawah PPP akan digunakan untuk menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan perumahan seperti lif, bumbung, tangki air, kerja cat, utiliti awam serta pemasangan ‘Anti Vandalism Lift System’ (AVAS ) dan kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata dana itu akan diberi keutamaan untuk menaik taraf 33 lif di flat awam di Padang Tembak, Kampung Melayu, Gat Lebuh Noordin dan Desa Wawasan, kerana kos penggantian yang tinggi.

"(Penggantian dan penaiktarafan 33 lif) kos RM8.91 juta dan ia memberi tekanan kepada kerajaan negeri apabila kita melihat dana kita, tetapi dengan bantuan kerajaan persekutuan, lebih banyak projek dapat disampaikan pada kadar yang lebih cepat, " katanya dan menjelaskan dana penyelenggaraan perumahan kerajaan negeri akan diteruskan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu