Rakaman audio berlaku kacau-bilau perkauman tidak benar - Mazlan [ 4m ago ]

Kementerian Sumber Manusia senarai pekerjaan kritikal masa akan datang

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Kementerian Sumber Manusia dalam proses menyenarai pekerjaan yang dikategori kritikal pada masa depan, sebagai panduan kepada pelajar dalam memilih kursus bersesuaian di institusi pendidikan tinggi.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata perkembangan Revolusi Industri 4.0 ketika ini memerlukan bidang tertentu dalam sektor pekerjaan khususnya melibatkan kemahiran dan teknikal.

“Kemungkinan besar lebih kurang 30 peratus pekerjaan yang sedia ada sekarang tidak lagi releven pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Perkeso 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata proses menyenarai pekerjaan itu turut mendapat kerjasama Bank Dunia dan beberapa jabatan kerajaan lain.

Kula Segaran berkata ibu bapa juga perlu diberikan pendedahan mengenai jurusan yang sesuai diambil anak-anak mereka bagi memudahkan memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Kira-kira 94 peratus pelajar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dan teknikal dilihat lebih mudah memperoleh pekerjaan, malah terdapat lebih dari satu majikan yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang hanya bersetuju pemberian cuti bersalin (paternity leave) selama tiga hari berturut-turut kepada suami yang bekerja di sektor swasta, dan bukannya tujuh hari seperti yang dicadangkan kerajaan, Kula Segaran mengatakan itu merupakan pandangan persatuan itu.

“Itu pandangan beliau (Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan). Kementerian menyerahkan kepada kabinet untuk memutuskan perkara itu,” katanya.

Semalam, Kula Segaran dilaporkan berkata kementeriannya bercadang membentangkan permohonan bagi cuti paterniti tujuh hari untuk sektor swasta kepada Kabinet akhir tahun ini kerana cuti paterniti tidak diberi perhatian selama 62 tahun lepas dan ia merupakan langkah awal untuk perubahan lebih baik di masa depan.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu