Gelaran raja pecut Asia Tenggara ubat prestasi hambar kontinjen Malaysia [ 5h ago ]

Pendidikan penting bagi Malaysia untuk kejar kemajuan prasarana teknologi - Gobind

Tarikh kemaskini: 14/11/2019
KUALA LUMPUR, 14 Nov -- Malaysia perlu mengejar kemajuan prasarana teknologi dengan membangunkan tenaga kerjanya menerusi pendidikan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata prasarana tidak mempunyai nilai sekiranya orang tidak mengetahui bagaimana untuk menggunakannya.

“Kita perlu cukup berani untuk mengakui hakikat bahawa kita hidup dalam era yang berbeza daripada sebelum ini, kerana kelajuan kita menuju ke peringkat seterusnya adalah lebih pantas daripada yang anda sangkakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Kecemerlangan ADA, di sini, hari ini.

“Saya fikir ia (prasarana teknologi) adalah satu cabaran besar kerana ia bukan persoalan tentang pilihan. Ini adalah sesuatu yang anda perlu fikirkan daripada perspektif kerajaan, mengenai bagaimana untuk mengawal selianya, kerana ia berubah terlalu pantas,” katanya.

Gobind berkata sebagai langkah pertama, rakyat Malaysia perlu menyedari tentang cabaran teknologi.

“Apabila kita dapat menyedarinya, kita akan dapat menyemak semula keutamaan kita dan melihat ke bahagian-bahagian yang kita perlu belanja lebih sekarang dan juga menyedari keperluan bagi kita untuk melabur dalam tenaga kerja.

“Kita melihat kepada mekanisme yang berbeza mengenai bagaimana kita boleh mengajar menggunakan platform pendidikan berbeza kerana kita telahpun mempunyai sekolah mengajar program komputer dan kecerdasan buatan (AI) yang tidak ada pengajar atau guru; semuanya berasaskan komputer,” katanya.

Malaysia mungkin memerlukan idea berbeza yang akan membantu melonjakkan negara daripada masa lepas ke masa akan datang, katanya.

“Setahu saya, kerajaan perlu menggerakkan (peruntukan bagi pendidikan) kerana kita bertanggungjawab untuk memastikan negara kita dan rakyat bersedia menyahut cabaran mendatang,” katanya.

Beliau berkata ini merupakan tanggungjawab semua orang -- bukan hanya kerajaan tetapi juga sektor swasta dan setiap orang yang mempunyai gajet pintar.

“Rakyat Malaysia mempunyai banyak potensi dan banyak yang perlu dimanfaat. Membantu mereka dan membimbing mereka tentang bagaimana melakukannya, dan membina minat dan menambah baik kehidupan mereka, adalah satu usaha bersama,” kata Gobind.

Terdahulu, ADA, agensi pemasaran digital di bawah Axiata Group, melancarkan pusat kecemerlangan yang menyepadukan data, pandangan, media dan kandunngan untuk mendapatkan hasil perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Srinivas Gattamneni berkata ADA (bermaksud analisis, data dan pengiklanan) telah melabur RM60 juta dalam platform sains data sejak beberapa tahun lepas dan menyasar melabur RM120 juta lagi dalam thmelabe beberapa minggu akan datang.

Beliau berkata pelaburan yang akan datang akan menumpukan kepada data raya, platform automasi dan model jentera yang mewujudkan wawasan bagi pelanggan.

ADA juga merancang meneroka ke Vietnam dan Myanmar pada pertengahan 2020 dan ketika ini sedang mengkaji potensi pasaran, katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu