IATA turunkan unjuran keuntungan industri bagi 2019 kepada US$25.9 bilion [ 11m ago ]

PRK Tg Piai: walaupun tewas, Karmaine tidak patah semangat

Tarikh kemaskini: 16/11/2019
PONTIAN, 16 Nov -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini redha dengan keputusan pilihan raya itu malam ini, yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dipilih sebagai Anggota Parlimen Tanjung Piai yang baharu.

Karmaine yang ditemui pemberita di Bilik Gerakan Utama PH di Eco Rambah di sini berkata keputusan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang untuk parti.

“Keputusan sudah ada, saya rasa saya redha apa yang telah berlaku. Saya rasa orang Tanjung Piai sudah membuat pilihan. Kita kena terimalah,” katanya.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai itu berkata PH akan membuat analisis berhubung kekalahan yang dialami.

Ditanya mengenai perasaan beliau ketika ini, Karmaine berkata: “Biasa…saya masih lagi di dalam parti (Bersatu dan PH) dan saya akan terus berjuang.”

Wee diumumkan sebagai pemenang PRK itu dengan majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi, berbanding Karmaine memperoleh 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707 undi), calon Berjasa Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850) serta calon Bebas Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abd Ghaffar (32).

Sementara itu, Wee berkata beliau akan memberi komitmen untuk melaksanakan program untuk rakyat di sini.

"Walaupun sebagai pembangkang saya akan ambil kira bagaimana untuk melaksanakan pelbagai program untuk membantu orang kawasan saya," katanya.

Sementara itu, calon Berjasa Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz menyifatkan tewas di tangan BN adalah sebagai suatu kekalahan yang bermaruah namun berpuas hati walaupun hanya mendapat 850 undi.

Sementara itu, walaupun hanya mendapat 380 undi, calon Bebas Dr Ang Chuan Lock berpuas hati dan berterima kasih kepada pengundinya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu