Riza Aziz hantar representasi semak tuduhan [ 1m ago ]

45 calon bertanding 17 jawatan bagi pemilihan Amanah Perak

Tarikh kemaskini: 17/11/2019
IPOH, 17 Nov -- Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) Perak pada 23 Nov ini akan menyaksikan 45 calon termasuk pengerusi, Datuk Asmuni Awi dan timbalan pengerusinya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, merebut 17 jawatan yang dipertandingkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Perak Akhiruddin Mohamad Taib berkata seramai 60 individu telah dicalonkan bagi peringkat awal pemilihan itu namun 15 daripadanya telah menarik diri atas sebab-sebab tertentu.

"Jawatan dipertandingkan pada pemilihan kali ini adalah speaker, timbalan speaker, juruaudit 1, juruaudit 2 dan 17 ahli jawatankuasa yang akan memilih pengerusi negeri, timbalan dan dua naib pengerusi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Amanah Perak, Greentown Nova di sini hari ini.

Beliau berkata untuk juruaudit 1 dan juruaudit 2, kedua-duanya menang tanpa bertanding walaupun pada awalnya masing-masing telah menerima 10 pencalonan.

"Pada pemilihan kali ini, seramai 195 perwakilan terdiri daripada wakil kawasan, sayap Pemuda Amanah dan Wanita Amanah akan memilih ahli jawatankuasa parti yang baharu," katanya

Selain itu, katanya, proses pengundian dijangka bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang dan pengiraan undi pula dijangka selesai pada 4.30 petang dan selepas keputusan diumumkan ia akan diteruskan dengan pemilihan bagi jawatan pengerusi, timbalan pengerusi dan dua naib pengerusi.

Dalam pada itu, Akhiruddin menasihatkan semua calon agar berkempen secara sihat dan berharap pemilihan berjalan lancar.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu