Sarawak tingkatkan infrastruktur taman negara [ 3h ago ]

Bola sepak: 1,500 polis bertugas di Bukit Jalil esok

Tarikh kemaskini: 18/11/2019
KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Kira-kira 1,500 pegawai dan anggota polis akan bertugas menjaga keselamatan dan lalu lintas sepanjang perlawanan Malaysia menentang Indonesia pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mereka akan bertugas secara berperingkat mulai pukul 1.00 tengah hari.

Beliau menjangkakan perlawanan itu dihadiri kira-kira 85,000 penyokong termasuk sekitar 6,700 dari Indonesia.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Mazlan mengingatkan penyokong kedua-dua pasukan agar tidak melakukan sebarang provokasi ketika perlawanan berlangsung.

"Polis akan mengambil tindakan keras bergantung kepada kesalahan yang dilakukan,” katanya sambil menggesa mereka supaya bertimbang rasa dan menjaga tingkah laku agar pelawanan esok berjalan lancar.

Mazlan juga berkata antara barangan yang ditegah dibawa ke stadium ialah mercun, pen laser, sebarang senjata dan minuman keras.

Orang ramai turut dinasihat menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan dan tindakan menunda akan diambil bagi kenderaan yang menghalang lalu lintas.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu