Yamaha Sepang Racing Team puas hati aksi di Sepang 8 Hours [ 10m ago ]

PKPP tebang ´tanaman haram´ di tanah miliknya

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
RAUB, 19 Nov -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) memulakan tindakan tegas menebang tanaman yang diusahakan secara haram di tanah seluas 68.75 hektar milik perbadanan itu di Ladang Pamah Lebar, di sini.

Pengurus Besar PKPP Shahrumzaki Hassan berkata mereka menanggung kerugian RM2.5 juta akibat tanah tidak dapat diusahakan dengan tanaman kelapa sawit selain menanggung bayaran cukai tanah RM34,408 sejak 2000.

"Pencerobohan ini dipercayai bermula sejak 1999 lagi sejak kita diberikan pemilikan tanah ladang ini dan sehingga kini diketahui terdapat kira-kira 50 peneroka haram di kawasan Ladang Pamah Lebar.

“Operasi ini akan berlangsung sehingga Khamis ini dan kita telah mengeluarkan notis 14 hari kepada mereka terlibat supaya tidak melakukan aktiviti dan mengeluarkan aset daripada tanah milik PKPP. Kita juga telah membuat laporan polis berhubung perkara ini pada 4 Sept lalu,” katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini, hari ini.

Shahrumzaki berkata secara keseluruhan, tanah PKPP di situ berkeluasan 412.6 hektar dan daripada jumlah itu, 246.07 hektar ditanam kelapa sawit.

Beliau menambah, pihaknya mendapati antara tanaman yang ditanam peneroka yang menceroboh tanaman mereka ialah durian seluas 54 hektar, getah (12 hektar) dan pisang (dua hektar) selain terdapat bangunan yang dibina peneroka terlibat.

“Buat permulaan, operasi kami melihatkan tanah yang ditanam dengan getah dan pisang manakala bagi tanaman durian, kita masih memperhalusi rayuan yang dikemukakan kira-kira 30 peneroka terlibat,” katanya.

Peneroka terbabit, menurut Shahrumzaki merayu agar tanaman mereka tidak ditebang dan sanggup membayar RM500 seekar (0.4 hektar) setahun namun PKPP mungkin akan membuat tawaran balas dengan kadar lebih tinggi, mengambi kira kerugian sejak 1999.
RAUB, 19 Nov -- Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menebang pokok-pokok getah yang diusahakan secara haram di atas tanah milik PKPP dalam Operasi Bersepadu Penguatkuasa Tanah PKPP di Ladang Pamah Lebar hari ini. Seluas 68.75 hektar tanah PKPP diceroboh secara haram menyebabkan PKPP terpaksa menanggung kerugian RM2.5 juta sejak 1999 dengan penanaman durian, getah dan pisang yang diusahakan oleh peneroka haram. --fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Shahrumzaki berkata PKPP juga sedang mengenal pasti pencerobohan di kawasan ladang lain miliknya dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sama selepas memperoleh maklumat mencukupi.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu