Kira-kira 43,500 pelajar dapat manfaat Program Back to School [ 5m ago ]

Dua pelajar sekolah dan rakan ditahan terlibat kes pecah kedai

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
KEPALA BATAS, 19 Nov -- Dua pelajar sekolah dan seorang rakan mereka sanggup membahayakan diri dengan mencabut fius utama elektrik sebelum memecah masuk kedai runcit dan melarikan wang tunai serta pelbagai rokok berjenama di Taman Sri Serdang, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pelajar lelaki tingkatan satu dan dua bersama rakan mereka berusia 21 tahun itu ditahan pukul 5 petang semalam selepas polis menerima laporan daripada pemilik kedai runcit tersebut.

"Lelaki berusia 50 tahun itu membuat laporan polis pada Ahad selepas mendapati kunci mangga premisnya dirosakkan manakala fius utama elektrik hilang dipercayai dicabut suspek serta sejumlah wang tunai serta rokok pelbagai jenama turut hilang. Semuanya bernilai RM2,700," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata ekoran laporan polis itu, polis berjaya mengesan tiga lelaki berkenaan dan merampas sejumlah wang tunai serta pelbagai jenis rokok dipercayai dicuri daripada kedai runcit terbabit.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah antaranya satu unit pemotong besi, dua motosikal dan helmet serta fius elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Noorzainy berkata siasatan juga mendapati tiga suspek itu turut terlibat beberapa kes lain di daerah SPU termasuk terbaharu awal bulan ini membabitkan kes pecah kedai dan kantin sekolah serta curi motosikal.

"Siasatan awal polis mendapati modus operandi mereka ialah memecah masuk kedai sebelum mencabut fius utama supaya tiada lampu yang boleh dipasang jika ada sesiapa masuk ke situ sebelum melarikan pelbagai barangan berharga," katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati mereka terlibat dalam kegiatan jenayah sejak beberapa bulan lepas bagi mendapatkan wang dengan cara mudah dan lelaki berusia 21 tahun itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

Beliau berkata semua mereka kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu