PayHalal dilantik ejen kutipan zakat PPZ-MAIWP [ 19m ago ]

Lebih 1,000 belia Sabah terima manfaat ceburi perniagaan menerusi program YEAP

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) menyerahkan replika cek bernilai RM2 juta kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah Pong Jin Zhe (tiga, kiri) pada majlis Pelancaran Dana Usahawan Program Aspirasi Keusahawanan Belia Sabah (Yeap) 2019 di Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini.
KOTA KINABALU, 19 Nov -- Lebih 1,000 belia di Sabah bakal menerima manfaat untuk mengembangkan potensi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan menerusi Program Aspirasi Keusahawanan Belia Sabah (YEAP) tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata minat golongan belia Sabah mengembangkan bakat keusahawanan dan jaringan perniagaan mereka, akan direalisasikan menerusi dana usahawan YEAP sebanyak RM2 juta yang telah disalurkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah.

Mohd Shafie berkata geran khas itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS), diperuntukkan dalam Belanjawan 2019, akan diagihkan secara ‘one off’ dalam tempoh terdekat kepada usahawan belia yang menepati kriteria dan syarat kelayakan ditetapkan.

“Dana khas ini untuk melibatkan seramai mungkin belia Sabah berkecimpung dalam dunia perniagaan kerana golongan ini memiliki minat tinggi, yang jika diberikan bimbingan tepat, mampu menjadi usahawan berjaya dalam mengeluarkan produk berkualiti dan bermutu berdasarkan permintaan pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Usahawan YEAP, di Lobi Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah Phoong Jin Zhe dan Presiden Majlis Belia Sabah Ahmad Farid Sainuri.

Mohd Shafie mahu golongan belia Sabah yang berkecimpung dalam bidang keusahawaan menerapkan elemen inovatif dan kreatif dalam menghasilkan produk seterusnya memastikan perniagaan bergerak lebih mampan.

Sementara itu, KBS Sabah dalam siaran akhbar yang diedarkan kepada pemberita, berkata kriteria dan syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program YEAP, termasuk pemohon mestilah belia Sabah berumur 18 hingga 35 tahun, memiliki lesen perniagaan sendiri dan rancangan perniagaan.

Menurut KBS Sabah, setiap pemohon terpilih akan menerima dana sebanyak RM2,000 seorang bagi memulakan perniagaan masing-masing.

Sejak permohonan YEAP dibuka pada Februari hingga Julai 2019, KBS Sabah menerima sebanyak 1,787 permohonan, yang sekali gus memperlihatkan bahawa belia Sabah sememangnya memerlukan bantuan serius daripada kerajaan negeri.

Menurut siaran akhbar itu, KBS Sabah akan terus membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada anak muda khususnya usahawan belia, untuk memajukan perniagaan dengan mempelbagaikan program termasuk peningkatan kemahiran.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu