JKR Johor diminta kenal pasti jalan terjejas akibat banjir [ 2h ago ]

Dua kolej vokasional dipilih sertai program P-TECH IBM

Tarikh kemaskini: 19/11/2019
KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Dua kolej vokasional, Kolej Vokasional (KV) Sepang dan KV Sungai Buloh telah dipilih untuk menyertai program projek perintis “IBM’s Pathways in Technology Early College High Schools (P-TECH).

Kerjasama antara IBM Malaysia, Kementerian Pendidikan dan Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC), adalah bagi memastikan kesalinghubungan yang baik antara sekolah menengah, universiti, dan industri dalam langkah membangunkan aspek akademik, teknikal dan kemahiran persediaan bekerja yang lebih mantap dalam kalangan belia Malaysia.

Buat permulaan, kira-kira 60 pelajar daripada kedua-dua KV akan menyertai program yang akan bermula tahun hadapan dengan IBM dan MDEC sebagai rakan perkongsian strategik.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IBM untuk Asia Pasifik, Harriet Green berkata terdapat keperluan mendesak untuk kemahiran teknikal dalam banyak negara, dan P-TECH adalah sejajar dengan keperluan majikan di Malaysia.

“Perkongsian ini akan mewujudkan laluan pembelajaran baharu terus ke pekerjaan kolar baharu dan membantu pelajar lebih memahami kaitan antara kerja kursus, pengalaman di lapangan dan tempat kerja,” katanya pada majlis pelancaran program P-TECH itu di sini hari ini.

Pada majlis pelancaran hari ini Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) Kementerian Pendidikan Datuk Kamel Mohamed bertukar dokumen berkenaan program berkenaan dengan Pengarah Urusan IBM Malaysia Catherine Lian dan disaksikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim dan Green.

Program ini diwujudkan pada 2011 oleh IBM menerusi kerjasama dengan pendidik, diperkenalkan di 24 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Maghribi, Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Filipina dan Thailand.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu